suria

Makanan laut hilang segar, rasa tak sedap? Ini petua sejuk beku ‘seafood’, boleh tahan sampai 2 minggu!

Cara memastikan makanan laut kekal segar apabila disejuk beku.

SETIAP daripada kita pastinya pernah membeli udang dan sotong dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan sebagai stok.

Walaupun begitu timbul persoalan bagaimana caranya untuk memastikan makanan laut ini kekal segar seakan-akan baru ditarik keluar daripada pukat?

Kesegaran makanan laut terbukti apabila tekstur udang dan sotong tersebut masih kenyal ketika dimakan sekali gus menjadikan suatu masakan itu lebih lazat.

Berikut adalah antara kaedah yang dikongsikan Noor Hafiza Mohamad di laman Facebook miliknya tentang teknik penyimpanan makanan laut yang dapat mengekalkan kesegaran dan kemanisannya.

Jangan terkejut, teknik yang dikongsikan ini sememangnya bukan biasa-biasa!

Hasil menggunakan teknik ini, udang masih segar selepas dua minggu.

1) Letakkan gula ke dalam bekas simpanan

Taburkan gula ke dalam bekas yang ada udang dan sotong, kemudian simpan ke dalam ruang sejuk beku.

Untuk udang, pastikan lebihkan gula kerana ia paling sensitif dan warnanya mudah bertukar menjadi hitam. Kalau boleh gaulkan terus keseluruhan udang itu dengan gula.

Gula ini bertindak seperti bahan pengawet.

Lihat hasilnya selepas dua minggu, tekstur udang masih sama macam baru dibeli semalam.

Kalau buat tomyam mesti sedap!

Gula adalah kunci kepada makanan laut untuk kekal segar.

2) Rendamkan udang dan sotong dalam air dan bekukannya

Penuhkan bekas yang akan diisi udang dan sotong dengan air sebelum memasukkannya ke dalam peti ais.

Air yang beku akan bantu mengekalkan kesegaran udang dan sotong tersebut.

3) Jangan cuci ikan

Kalau untuk ikan, buang perut dan jangan cuci, kemudian masukkan ke dalam bekas untuk digaulkan gula.

Selepas itu baru boleh bekukan. Perlu diingat, ikan sardin dan ikan kembung akan cepat kecut dan tidak sesuai disimpan lama. - Noor Hafiza Mohamad

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain