suria

Sejak dah tahu memang tak pernah ‘miss’ buat... Ini petua simpan sayur supaya tahan lama

Gunakan langkah ini untuk memastikan kesegaran sayuran dapat dikekalkan.

BOLEH rosak 'mood' hendak memasak apabila melihat bahan masakan seperti sayur-sayuran tidak lagi segar dan kelihatan layu walaupun disimpan di dalam peti sejuk.

Seperti kita sedia maklum, hidangan yang sedap bergantung kepada kualiti bahan mentah yang digunakan dalam masakan.

Jadi apakah tip yang boleh diguna pakai untuk mengekalkan kesegaran sayur?

Melalui perkongsian Areini Hezry di Facebook, dia menyatakan beberapa petua penyimpanan sayur mengikut jenis antaranya:

1) Daun kari

Cara penyimpanan daun kari.

Cara penyimpanannya mudah kerana tak perlu basuh.

Terus letak di dalam bekas kering dan tutup rapat kemudian simpan di tempat sejuk beku.

Apabila hendak digunakan nanti baru basuh. Boleh guna kaedah sama untuk simpan daun limau purut.

2) Daun bawang dan serai

Cara penyimpanan untuk daun bawang dan daun serai.

Cara penyimpanan, letak air di dalam bekas hingga paras akar. Simpan di dalam peti sejuk.

Sebagai peringatan, perlu rajin tukar air. Selepas itu potong hujung daun yang layu.

Potong setakat yang layu sahaja seperti dalam gambar di atas.

Kaedah sama juga boleh digunakan kalau nak simpan daun sup.

3) Petai

Cara penyimpanan petai.

Cara penyimpanan, simpan terus petai di tempat beku di dalam peti sejuk.

Jangan dikopek kulit dan jangan dibawa keluar bijinya.

Kalau dikopek dan diambil bijinya untuk disimpan di tempat beku, nanti ia akan menjadi lembik.

Jika tak percaya, boleh cuba sendiri.

4) Pelam dan ulam-ulaman

Cara penyimpanan pelam dan ulam-ulaman.

Cara penyimpanan, rendam di dalam air kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.

Jika pelam yang sudah masak pun sama juga, misalnya sudah dibeli banyak-banyak dan tidak habis makan, boleh simpan dengan menggunakan cara sama agar tidak rosak.

Boleh disimpan selama dua bulan pun masih elok.

5) Bunga kantan

Cara penyimpanan bunga kantan.

Cara penyimpanan, letak di dalam bekas yang diisi air hingga paras batang.

Kemudian simpan di dalam peti sejuk.

6) Kangkung

Cara penyimpanan kangkung.

Cara penyimpanan, letak di dalam bekas yang diisi air hingga paras akar, sampai terkena batang sedikit.

Rajin-rajin tukar air tiga hari sekali. Kalau ada daun kuning macam dalam gambar di atas, boleh potong, kutip dan buang.

Lagi kita petik, lagi banyak pucuk muda bercambah. Seronok tak perlu tanah nak tanam kangkung.

Guna jug air sahaja di dalam rumah. Kangkung tidak perlu diletakkan di dalam peti ais. Letak di luar sahaja.

Kini anda sudah tahu rahsianya, ayuh cuba di rumah! - Areini Hezry

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain