BAK kata pepatah, kepimpinan melalui teladan. Biarpun baharu berusia 17 tahun, remaja ini bukan hanya membanggakan ibu bapa dan sekolahnya malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain di seluruh negara. Bergelar Ketua Pelajar di Sekolah Antarabangsa Garden International School (GIS), Bryan Lim Luo Ting baru-baru ini melancarkan sebuah inisiatif bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye. Bryan memanfaatkan kemudahan Reka Bentuk dan Teknologi yang ada di sekolahnya bagi menghasilkan rantai kunci cetakan 3D untuk dijual bagi tujuan mengumpul dana. Berkat usahanya, dia berjaya mengumpul dana berjumlah RM15,000 hasil jualan daripada rantai kunci tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan ‘tipikal Harvard’, enam pelajar Malaysia punya cerita sendiri... Tak belajar 24jam, ada juga yang pandai main muzik Walaupun Komuniti Ibu Bapa, Guru dan Rakan-Rakan sebelum ini telah pun mengumpulkan makanan dan barangan keperluan musim sejuk berjumlah RM49,000 untuk mangsa gempa bumi, bagaimanapun remaja tersebut merasakan masih ada ruang untuknya membantu. Lebih-lebih lagi apabila dia sendiri turut terkesan apabila mendengar berita tentang gempa bumi yang sangat dahsyat sehingga menyaksikan puluhan ribu mangsa terkorban serta banyak bangunan terjejas teruk akibat bencana tersebut. Rantai kunci hasil idea Bryan yang dibuat bagi tujuan mengutip dana untuk mangsa gempa Turkiye. "Sebagai ketua pelajar, saya ingin melakukan perubahan dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pelajar yang lebih muda, iaitu apa pun usaha kita, tidak kira sekecil mana, boleh mengubah keadaan. "Saya ingin berterima kasih kepada pihak sekolah di atas kemudahan yang disediakan, serta guru-guru, ibu bapa, dan rakan-rakan yang menyokong usaha ini dengan pembelian," kata Bryan. Sumbangan sebanyak RM15,000 itu disampaikan Bryan kepada Duta Besar Turkiye, Emir Salim Yüksel pada majlis yang diadakan di GIS, baru-baru ini. Ia turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Sementara itu, Hannah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada remaja berkenaan dan warga GIS kerana mengharumkan nama negara melalui penerapan nilai-nilai murni di sekolah. "Kejayaan bukan hanya diukur dengan gred atau prestasi pelajar di sekolah. Ia adalah tentang pembentukan keperibadian individu dan akhlak yang baik. "Tugas mendidik anak-anak adalah tanggungjawab semua pihak dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada ibu bapa Bryan, guru-guru dan pihak sekolah kerana menyediakan persekitaran yang menerapkan nilai-nilai murni dalam diri Bryan dan semua pelajar di GIS," puji menteri berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube