suria

Anda jenis shopping raya saat akhir? Terjah satu daripada 10 mall ini, semua tersedia di bawah satu bumbung

Pelbagai busana raya dengan fesyen terkini bakal membuatkan pengunjung rambang mata.

SEDAR tak sedar, kurang dua minggu dari sekarang, umat Islam bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Ketika ini sudah tentu ramai yang sedang kalut membuat persiapan, daripada menyediakan busana, membeli kelengkapan serta hiasan rumah, membeli biskut raya dan sebagainya.

Negeri Selangor pastinya menjadi syurga membeli belah buat semua pada musim perayaan ini.

Dalam kesibukan membuat persiapan, semestinya ramai yang memilih untuk membeli belah di satu lokasi yang menawarkan segala kelengkapan yang ingin dicari.

Usah pening kepala, mStar membantu anda menyenaraikan 10 lokasi membeli belah di Selangor untuk memeriahkan lagi sambutan hari raya.

Yang pasti, semua yang anda cari berada di bawah satu bumbung dan tentunya mengikut trend fesyen terkini!

1. The Curve

THE CURVE

Daripada fesyen, barangan kecantikan, kelengkapan rumah, barang kemas dan aksesori, The Curve merupakan sebuah pusat beli-belah terbaik dengan pilihan jenama tempatan dan trend moden serta nostalgik. Dengan 250 kedai merangkumi tiga tingkat, hari raya bersama The Curve pastinya akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan tema 'Nostalgia Raya' dan hiasan sawah padi yang indah, pastinya membawa anda mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak bersama keluarga tersayang! Terletak di Petaling Jaya dan hanya 20 minit dari Kuala Lumpur, pengunjung boleh merasai persembahan muzik nostalgia setiap hujung minggu dengan pelbagai baucar ditawarkan!

2. Paradigm Mall

PARADIGM

Warnai Raya bersama Paradigm Mall pada hari raya ini dengan tarian tradisional Melayu, aktiviti melukis batik, pertunjukan fesyen batik, bazar Ramadan dan gerai perayaan sambil anda menyelami pelbagai promosi dan pakej yang ditawarkan di sini! Dengan hiasan Kilang Batik, pengunjung boleh melihat struktur binaan kayu yang unik bersama-sama dengan motif batik yang mencerminkan kekayaan warisan, budaya dan tradisi negara ini. Jangan ketinggalan mengikuti pelbagai bengkel seni dan kraf serta pelbagai peraduan untuk memenangi hadiah dan baucar terbaik untuk persiapan hari raya anda!

3. Pusat beli belah One Utama

OU

Raikan Aidilfitri anda dengan 'Sinar Estetika Aidilfitri' di Pusat Beli-belah One Utama dengan semangat Aidilfitri yang ceria, diilhamkan oleh budaya Timur Tengah. Lawati Bazar Raya yang meriah di kawasan Oval dan Center Court untuk trend fesyen terkini serta pelbagai juadah Raya seperti rendang dan kuih bahulu atau hidangan Turki yang asli. Jangan lepaskan Ganjaran Estetika mereka semasa anda membeli belah di sini, dengan hadiah yang menarik melalui pelbagai peraduan dan promosi yang diadakan tahun ini!

ARTIKEL BERKAITAN: Top 7 lokasi bazar paling menarik di Selangor... Kalau nak rasa tongmo bakar sedap kena ke Klang!

4. Sunway Pyramid

SUNWAY

Tahun ini, si Singa telah mengubah Sunway Pyramid menjadi pesona nostalgik cahaya perayaan! Bertemakan 'Cahaya Raya' dengan corak geometri dan reka bentuk Arab, mari beraya sakan di gerai Cahaya Raya mereka dengan produk penjagaan kulit ekslusif yang mampu milik, pakaian tradisional seperti Butik Rimba dan banyak lagi! Berbakti kepada masyarakat pada musim Raya ini dengan membeli barangan daripada Early Autism Project (EAP), yang dibawakan khas pada musim perayaan ini dengan objektif untuk membantu individu yang mengalami Autism Spectrum Disorder (ASD) dan sebarkan kemanisan pada musim perayaan ini dengan merebut dodol PERCUMA sambil menghayati persembahan yang tersedia.

5. Setia City Mall

SETIA

Bawa elemen 'wow!' pada Hari Raya ini bersama Setia City Mall, bertemakan 'Wau! Bulan Raya' Tebus hadiah istimewa semasa anda membeli-belah di sini daripada barangan buatan tangan kepada selendang eksklusif Nurita Harith! Keunikan tema tahun ini diiringi dengan pelbagai persembahan kebudayaan pada hujung minggu seperti persembahan Dikir Barat, Kulingtangan dan Caklempong.

6. Kompleks PKNS Shah Alam

PKNS

Kompleks PKNS Shah Alam merupakan kawasan tumpuan masyarakat sekitar dengan ribuan pengunjung dari kawasan berhampiran dan luar Shah Alam. Dilengkapi dengan kawasan riadah, pengunjung boleh berehat selepas berjam-jam membeli-belah di sini! Terletak di tempat yang sama dengan Bazar Ramadan PKNS, pastinya ia menjadi tumpuan pengunjung untuk berbuka puasa selepas merebut harga promosi yang mampu milik ditawarkan di sini. Kompleks PKNS Shah Alam menyediakan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan dengan kos yang rendah. Terdapat pelbagai kedai yang tersedia, termasuk butik fesyen, restoran, elektronik dan telefon bimbit.

7. SACC Mall

SACC

Terletak di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam, SACC Mall menawarkan pengalaman membeli-belah yang menarik untuk seisi keluarga. Terdapat di keseluruhan tiga tingkat yang menawarkan jenama tempatan dan antarabangsa terkemuka, SACC Mall ialah pusat beli belah yang wajib dikunjungi oleh pembeli dengan anggaran bajet yang berbeza untuk persiapan Aidilfitri. Daripada barangan rumah, fesyen terkini hinggalah produk kecantikan, semuanya boleh didapati di sini dengan promosi dan tawaran menarik khas untuk sambutan Aidilfitri!

8. GM Klang Wholesale City

GM KLANG

Rioooh Raya bersama GM Klang tahun ini dengan lebih 2,500 kedai yang menawarkan jualan borong dan runcit yang tiada tandingan. Pembeli boleh merebut peluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM 7,300 pada musim perayaan ini melalui pembelian pelbagai produk yang ditawarkan seperti pakaian, fesyen terkini, tekstil, barangan rumah, hiasan rumah dan pelbagai lagi! Jangan lupa untuk menebus sampul duit raya ekslusif mereka apabila anda membeli-belah di sini, selagi stok masih ada!

9. Mitsui Park Outlet

MITSUI

Salah satu tempat membeli-belah terbaik untuk barangan berjenama, Mitsui Outlet Park menawarkan pelbagai promosi Aidilfitri merentasi lebih 140 kedai dengan harga mampu milik dan ekslusif. Terletak hanya enam kilometer dari KLIA dan KLIA2, pembeli boleh melawati kawasan ini dengan mudah untuk membeli-belah di musim perayaan dalam perjalanan untuk Balik Kampung! Pastikan anda merebut hadiah bernilai RM 50,000 untuk dimenangi, pastinya satu tawaran yang tidak boleh dilepaskan!

10. I-City Mall

ICITY

Pusat beli-belah ikonik di Selangor ini pastinya menjadi tumpuan bagi penggemar fesyen pada Hari Raya kali ini, hasil kerjasama istimewa bersama Rizman Ruzaini, salah seorang pereka fesyen legenda di Malaysia dengan tema ‘Raikan Raya’. Dengan lebih daripada 50 jenama tersedia seperti Bulan Bintang dan Elrah, anda boleh beraya sakan di sini dengan tawaran terbaik untuk OOTD Raya anda!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain