suria

KPT dalam peringkat akhir pinda Auku, pelajar IPTA akan nikmati autonomi penuh

Mohamed Khaled (dua, kanan) menghadiri sesi 'townhall' di KPT, baru-baru ini. Foto: Raja Faisal Hishan/The Star

PELAJAR di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara tidak lama lagi bakal mempunyai autonomi penuh untuk menjalankan aktiviti mereka, termasuk menguruskan kewangan kesatuan pelajar atau majlis perwakilan pelajar (MPP).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang dalam peringkat akhir merangka pindaan yang perlu dibuat kepada Seksyen 15 dan 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku), kata menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Draf itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada pertengahan Jun untuk kelulusan dan kemudian dibentangkan kepada Kabinet, di mana input kementerian lain akan dipertimbangkan, sebelum rang undang-undang pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Bercakap pada sesi 'townhall' Auku yang diadakan di kementerian itu bersama pelbagai pihak berkepentingan, daripada penuntut sehingga pengurusan universiti, pada 6 April lalu, Mohamed Khaled berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga pandangan mengenai Auku - bahawa ia perlu dikekalkan dengan beberapa pindaan dan penambahbaikan; dikekalkan dengan pindaan dan dijenamakan semula; dan ia sepatutnya sepenuhnya digantikan dengan akta baharu.

"Selepas meneliti pelbagai pandangan, saya percaya kebanyakan orang cenderung mahu pindaan itu dibuat, bukannya dimansuhkan sama sekali.

"Saya percaya pelajar juga akan mengalu-alukan pindaan itu," katanya.

pic 2

Sesi townhall Auku yang dianjurkan KPT baru-baru ini.

Tambahnya, kementerian bersetuju dengan langkah itu kerana menyedari hakikat zaman telah berubah dan pelajar kini memerlukan kebebasan ruang untuk mengembangkan kematangan dan personaliti, selain ilmu pengetahuan.

Beliau juga berkata isu yang sering dibangkitkan adalah pelajar seolah-olah 'tersekat' untuk melaksanakan aktiviti mereka, dengan keperluan mendapatkan kelulusan daripada pengurusan universiti dan kekangan kewangan antara puncanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulihkan kepercayaan sektor pendidikan tinggi negara - Mohamed Khaled

"Memandangkan ini adalah sesuatu yang kami percaya boleh mengatasi sekatan yang dirasai penuntut, kami akan memindanya.

"Pindaan itu akan membolehkan mereka bebas menentukan jenis aktiviti yang mereka mahu sertai dan menguruskan kewangan mereka.

"Sehubungan itu, kesatuan pelajar akan diberi kuasa dan peranan untuk memantau dan melaksanakan tanggungjawab," katanya sambil menambah bahawa kedua-dua pihak, baik MPP dan universiti masing-masing perlu membincangkan garis panduan yang harus diwujudkan.

Tertakluk kepada undang-undang

Bagi memastikan pelaksanaan yang berjaya, Mohamed Khaled berkata penuntut mesti bertanggungjawab dan amanah, berintegriti, dan mahir dalam pengurusan.

"Wakil pelajar dipilih, jika gagal melaksanakan dengan baik, pelajar lain akan memecat pemimpin berkenaan.

"Sebab itu kementerian bersetuju dengan pindaan itu. Kita mahu memperkasakan nilai seperti tanggungjawab dan akauntabiliti," katanya.

Beliau menambah, walaupun pelajar akan diberikan autonomi, mereka masih tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

"Pelajar akan membuat keputusan mengenai garis panduan dan peraturan, bagaimana pemimpin mereka menguruskan kewangan mereka dengan baik dan adil," katanya.

Jika timbul masalah, beliau menambah pelajar perlu berunding dan berbincang dengan pihak pengurusan universiti mereka.

pic 4

Penuntut IPTA turut mengambil bahagian dalam sesi 'townhall'.

"Penentangan terhadap universiti atau pihak berkuasa tidak akan membawa kita ke mana-mana," katanya sambil menambah bahawa salah satu nilai penting yang perlu dimiliki oleh pelajar agar untuk berjaya di luar universiti adalah keupayaan untuk bertindak, mengamalkan toleransi dan bekerjasama dengan orang lain, bukannya mengembangkan sifat penentangan.

Walaupun hal ehwal pelajar di IPTA sering mendapat perhatian, menyebabkan cadangan pindaan kepada Seksyen 15 dan 16 - satu-satunya dua bahagian di Auku yang berkaitan dengan pelajar - kata Mohamed Khaled, kementeriannya menyedari perkara lain berkaitan Auku yang perlu dilihat semula.

"Kami memerlukan penglibatan selanjutnya untuk mendalami setiap isu ini," katanya.

Kebebasan akademik

Memetik pula mengenai kebebasan akademik, yang bukan sebahagian daripada Auku tetapi berada di bawah Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), beliau berkata perkara tersebut turut dibangkitkan.

Pun begitu, katanya, ia bukan alasan untuk ia tertakluk kepada Auku.

"Sama ada kami mencadangkan pindaan kepada akta itu sendiri atau kami memindahkannya ke akta lain," katanya sambil menambah kebimbangan berkaitan Auku seperti peranan pendaftar, bursar (bendahari) dan ketua pustakawan akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled juga berkata sekiranya pindaan Auku diluluskan, Akta Universiti Teknologi Mara (UiTM) 173 akan tertakluk kepada pindaan juga, kerana universiti itu kini dikendalikan bebas daripada Auku.

"UiTM tidak tertakluk kepada Auku tetapi terdapat klausa dalam Akta UiTM yang serupa dengan klausa dalam Auku.

"Kita juga akan memindanya supaya tiada siapa boleh mengatakan pelajar UiTM ketinggalan berbanding universiti lain kerana Akta universiti mereka tidak dipinda," katanya.

Turut hadir bersama dalam sesi townhall itu adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal; penasihat undang-undang Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Khairul Anuar Che Azmi dan bekas Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

pic 3

Sesi 'townhall' Auku yang dihadiri pihak berkepentingan daripada penuntut hinggalah ke pengurusan universiti.

Diwartakan pada 30 April 1971, Auku diwujudkan untuk menyelaras kuasa peruntukan bagi penubuhan dan urus tadbir IPTA serta sumber kuasa yang menghubungkan akauntabiliti IPTA kepada kerajaan dan masyarakat.

Mengenai Auku

- Bertujuan untuk memantapkan, mengekalkan dan mentadbir universiti dan kolej universiti, dan perkara lain yang berkaitan.

- Tidak terpakai kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM Act 173) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM perlembagaan syarikat)

- Sumber kuasa untuk penubuhan dan tadbir urus 20 universiti awam (IPTA).

- Sumber kuasa itu menghubungkan akauntabiliti terhadap IPTA kepada kerajaan dan masyarakat

- Mempunyai 44 peruntukan iaitu:

* 32 Peruntukan berkaitan tadbir urus dan Kementerian Pendidikan Tinggi

* 7 Peruntukan berkaitan pelajar

* 1 Peruntukan berkaitan kakitangan

* 4 Peruntukan lain yang berkaitan (seperti nama sesuatu Akta, tafsiran, dan sebagainya)

Sejarah pindaan Auku

Tahun 1971

A80: Penubuhan IPTA dan pemberian bantuan kewangan kepada universiti

Tahun 1975

A295: Penglibatan pelajar dalam aktiviti politik

Tahun 1983

A550: Ketidaksesuaian Akta bagi universiti yang ditubuhkan dalam kepentingan negara

Tahun 1996

A1582: Mengurangkan beban kewangan kerajaan dan meningkatkan kecekapan pengurusan IPTA.

Tahun 2009

A1342: Autonomi dan peralihan kuasa; hak dan kebajikan atau organisasi pelajar; pengukuhan sistem tadbir urus; ketelusan pelantikan; kebajikan pekerja universiti; dan perkongsian kepakaran antara IPTA.

Tahun 2012

A1433: Membenarkan pelajar terlibat dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus.

Tahun 2019

A946: Membenarkan pelajar terlibat dalam aktiviti dan parti politik di kampus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain