suria

Jangan stres fikir trafik sesak nak balik beraya! Sama-sama patuhi Cadangan Waktu Perjalanan Plus, ikut 4 nasihat ini

Elakkan terperangkap dalam kesesakan dengan mengikuti TTA yang disarankan Plus. -Gambar hiasan

MUSIM perayaan sememangnya sinonim dengan kesesakan lalu lintas.

Salah percaturan, tersangkut berjam-jam di lebuh rayalah jawabnya.

Lebih parah, kenderaan pula buat hal ketika jalan tengah sesak teruk. Pasti bertambah stres dan hilang mood.

Sebagai pengguna jalan raya, sudah tentu kita semua mahu perjalanan pulang bercuti dan berhari raya di kampung halaman berjalan dengan lancar bukan?

Sempena cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, Plus Malaysia Berhad (Plus) mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan Balik Kampung dan Kembali ke Lembah Klang di Lebuhraya Utara-Selatan pada 19 April hingga 1 Mei 2023.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Plus, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak 2 juta kenderaan dalam sehari bakal menggunakan Lebuhraya Plus pada hari-hari puncak musim perayaan yang akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Plus jangka 1.9 juta kenderaan guna lebuh raya sempena cuti Maulidur Rasul

TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh Plus pada musim perayaan bagi membantu orang ramai merancang perjalanan seterusnya menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa.

"Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

TTA Hari Raya Aidilfitri 2023 1

Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti perayaan Aidilfitri, tetapi juga bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang selepas bercuti," ujarnya.

Berikut adalah TTA yang disyorkan Plus:

Perjalanan keluar dari Lembah Klang (19 April hingga 1 Mei):

Sebelum 9 pagi untuk pengguna lebuh raya yang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor

Antara 12 tengah hari hingga 3 petang untuk pengguna yang menuju ke lokasi yang lebih dekat seperti Perak (Tanjung Malim-Ipoh), Negeri Sembilan dan Melaka

Perjalanan kembali ke Lembah Klang (19 April hingga 1 Mei):

Sebelum 9 pagi untuk pengguna Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor

Nasihat kepada pengguna lebuh raya:

1) Pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi Plus, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya

2) Menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna lebuh raya menggunakan mod pembayaran RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain.

3) Memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch n Go sentiasa mencukupi untuk kelancaran perjalanan

4) Dapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi Plus, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

Semua kemudahan awam seperti surau, tandas dan stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah dibuka 24 jam setiap hari untuk kemudahan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Di kawasan-kawasan rehat ini, Plus menyediakan pelbagai jenis gerai makanan dan minuman bagi memudahkan pengguna lebuh raya mendapatkan keperluan atau berehat seketika sebelum menyambung semula perjalanan di lebuh raya.

Plus juga menyediakan tandas mudah alih sebagai tambahan kepada tandas awam sedia ada di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna lebuh raya.

Plus juga menempatkan anggota Rela di kawasan-kawasan tersebut untuk pengurusan trafik.

Oleh itu, sama-sama kita patuhi TTA untuk merancang perjalanan yang lebih baik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain