suria

Lakukan 2 perkara ini sebelum balik kampung, elak kejadian pecah rumah musim raya

Kejadian pecah rumah sering berlaku pada musim perayaan. Gambar hiasan

RAMAI yang sudah mula bercuti untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kegembiraan dan keterujaan balik ke kampung, jangan lupa untuk memastikan kediaman anda berada dalam keadaan yang selamat.

Musim perayaan lazimnya menjadi waktu untuk penjenayah ligat 'buat kerja' gara-gara ketiadaan penghuni di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan stres fikir trafik sesak nak balik beraya! Sama-sama patuhi Cadangan Waktu Perjalanan Plus, ikut 4 nasihat ini

Jadi, bagaimana caranya mahu memastikan kediaman berada dalam keadaan yang selamat sehingga kita kembali kelak?

Tip pertama: Memasang kamera keselamatan atau kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman masing-masing.

cctv

Tidak perlu yang terlalu mahal, pasang sahaja CCTV mampu milik yang banyak terdapat di pasaran ketika ini.

Yang paling penting, kediaman dan telefon bimbit mempunyai sambungan internet agar CCTV boleh dipantau di mana-mana. Bolehlah beli sebelum pulang beraya nanti.

Ini lima kelebihan memasang CCTV di rumah sebagaimana perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM):

1. Mudah diakses melalui telefon pintar - Boleh pantau kediaman bila-bila masa, di mana sahaja hanya dengan menggunakan telefon pintar anda.

2. Tingkatkan keselamatan - Dapat mengawasi aktiviti di dalam dan luar rumah, mengurangkan risiko kecurian dan insiden tak diingini.

3. Pengenalan wajah dan pengesanan gerakan - Dapat mengesan aktiviti mencurigakan dan beri notifikasi langsung ke telefon anda.

4. Mudah dipasang - Dengan teknologi yang semakin maju, pemasangan CCTV menjadi lebih mudah dan cepat.

5. Kos berpatutan - Harga CCTV semakin mampu milik dan menjadi satu pelaburan berbaloi untuk meningkatkan keselamatan rumah anda.

Tip kedua: Mengisi borang di aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)

vsp

VSP merupakan satu inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah bersama masyarakat tempatan sebagai 'mata' dan 'telinga' pihak polis.

Tidak perlu ke balai polis. Anda boleh mengisi borang maklumbalas balik kampung menerusi aplikasi (VSP) dengan mudah dan pantas.

Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan App Store di mana anda dikehendaki mendaftar sebagai ahli VSP terlebih dahulu.

Setiap maklumbalas yang diterima oleh sistem itu akan dihubungkan ke semua bilik gerakan polis daerah dan kontinjen.

Pihak PDRM menerusi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan MPV akan membuat rondaan dan pemantauan secara berkala. Mudah bukan?

Jadi sebelum balik kampung nanti, isi VSP terlebih dahulu dan polis melakukan rondaan di kawasan anda. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain