suria

Laku macam pisang goreng panas! Sampul duit raya abang bomba corak seni doodle buat ramai terpikat

Mohd Hairul sudah mula mengeluarkan Sampul Raya Bomba sejak 2018.

TRADISI pemberian duit raya sememangnya sudah sebati setiap kali tibanya Aidilfitri.

Kepingan not kertas akan diberikan kepada kanak-kanak, ibu bapa, saudara mara serta tetamu di dalam sampul yang cantik dan kreatif.

Justeru, boleh dikatakan sampul raya adalah salah satu item yang tidak kurang pentingnya bagi memeriahkan lagi sambutan hari raya.

Kebiasaannya sampul raya sinonim dengan corak seperti ketupat, karikatur suasana raya di kampung, pelita ataupun sekadar tulisan formal, namun sampul raya yang dihasilkan oleh lelaki ini ternyata mencuri tumpuan ramai kerana kelainannya.

Tetap berkonsepkan hari raya, namun rekaan yang dihasilkan mengetengahkan tema anggota bomba sekaligus menyuntik elemen unik dan kreatif.

Berkongsi cerita dengan mStar, anggota bomba bernama Mohd Hairul Azlan Mohd Kamal yang menghasilkan Sampul Raya Bomba (SRB) berkata, dia mula berjinak-jinak menghasilkan sampul raya sekitar lima tahun lalu.

"Kalau kita tengok dekat luar banyak sampul raya bertemakan kampung dan lain-lain tapi tiada lagi tampil dengan corak atau rekaan pasukan beruniform.

bomba 2

Dua corak Sampul Raya Bomba pada tahun 2021 (kanan) dan tahun 2022 (kiri).

"Daripada situlah datang idea untuk mengetengahkan design bertemakan anggota bomba. Secara tidak langsung, kita dapat tunjukkan aset, uniform dan kerjaya kita kepada orang ramai.

"Dalam pada itu, ia juga boleh beri inspirasi kepada kanak-kanak untuk meminati kerjaya sebagai anggota bomba," ujar anggota bomba berusia 35 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan stres fikir trafik sesak nak balik beraya! Sama-sama patuhi Cadangan Waktu Perjalanan Plus, ikut 4 nasihat ini

ARTIKEL BERKAITAN: Anda jenis shopping raya saat akhir? Terjah satu daripada 10 mall ini, semua tersedia di bawah satu bumbung

Menurut Mohd Hairul yang bertugas di Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, dia menggunakan khidmat pelukis berbakat besar, Wan Muhammad Huzaifah Mohd Basir untuk menterjemahkan idea sampul raya yang dihasilkannya.

"Idea original daripada saya dan disumbangkan juga oleh rakan-rakan bomba. Contohnya saya nak corak anggota bomba tengah mengacau dodol atau membakar lemang.

"Saya berbincang dengan artis dan dia menterjemahkan idea tersebut sebagaimana yang saya bayangkan," ujar bapa kepada dua orang cahaya mata ini.

Tahun demi tahun, pengeluarannya semakin bertambah dan untuk tahun ini, sebanyak 2,000 kotak dihasilkan.

MOHD HAIRUL AZLAN MOHD KAMAL

ANGGOTA BOMBA

Tambah Mohd Hairul, dia pada mulanya sekadar suka-suka menghasilkan SRB untuk menjana pendapatan sampingan.

Namun tanpa disangka, projek setahun sekali itu mendapat sambutan menggalakan sehingga kini yang sudah memasuki tahun kelima!

"Saya ingat lagi mula-mula tu rasanya cetak berpaket-paket saja. Tapi Alhamdulillah, SRB ada peminatnya tersendiri sebab setiap Aidilfitri, saya tampilkan design raya berbeza namun temanya tetap bomba.

bomba 3

Rakan-rakan Mohd Hairul tidak ketinggalan mendapatkan Sampul Raya Bomba.

"Tahun demi tahun, pengeluarannya semakin bertambah dan untuk tahun ini, sebanyak 2,000 kotak dihasilkan. Inilah pengeluaran terbanyak sepanjang lima tahun saya buat projek ini.

"Keistimewaan SRB adalah saya datangkan packaging dengan kotak, kualiti materialnya juga tip top dan paling penting, corak doodle yang dihasilkan.

"Selain digunakan untuk ibu pejabat bomba untuk diberi kepada tetamu pada majlis-majlis, SRB mendapat sambutan hangat ketika dijual di platform TikTok dan Shopee.

"Siap ada yang DM nak beli tapi kecewa sebab dah habis. InsyaAllah, tahun depan saya cuba yang terbaik lagi... jadi kena DM dan tempah cepat-cepat takut habis lagi," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain