ALANGKAH seronoknya apabila ramai adik beradik serta ipar duai berkumpul di kampung untuk meraikan Aidilfitri dengan ibu bapa. Maklumlah, bukan mudah untuk dapat cuti raya serentak. Selain kekangan tugas, ada ketikanya adik beradik beraya di rumah mentua mengikut sistem giliran beraya dengan pasangan, sekali gus menyukarkan sebuah keluarga besar berkumpul beramai-ramai. Justeru, peluang berkumpul bersama di kampung adalah satu perkara yang amat dinanti-nantikan. Bagaimanapun, dalam pada seronok berkumpul, janganlah kita terlupa perkara-perkara yang dikategorikan sebagai 'common sense'. Meskipun itu adalah rumah ibu bapa atau mentua sendiri, janganlah 'buat-buat tak nampak' pula tugas atau adab yang perlu dijaga. Berpakatlah dengan adik beradik untuk berkongsi duit bagi membeli barang keperluan makanan bagi menyiapkan juadah. Gambar hiasan Meskipun nampak macam remeh, tapi bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Pandai-pandailah bawa diri. Kali ini, mStar senaraikan 13 perkara yang mungkin dianggap tidak penting, tetapi sebenarnya adalah 'common sense' yang patut dititikberatkan. 1. Hulur duit Menghulurkan wang di sini bukanlah bermaksud duit raya tetapi duit untuk membeli barang-barang keperluan untuk memasak. Pasti semua nak makan, bukan? Cuba congak, berapa kali makan dalam sehari dan berapa hari anda nak bercuti di kampung. Hah, pakat 'tong-tong' (kongsi) duitlah dengan adik beradik... bincang amaun yang perlu dikongsi. Takkan nak harapkan duit mak ayah pula, betul tak? 2. Kemas tempat tidur Ini salah satu perkara yang ramai buat tidak kisah. Sebagai tetamu yang menumpang rumah ibu bapa, janganlah biar saja tempat tidur tak berkemas selepas bangun. Tambahan lagi kalau tidur lambak... takkan nak biar ruang tamu bersepah dengan bantal, selimut dan toto pula. Malu kalau tetamu datang beraya nampak. 3. Anak dara sila bangun awal tolong apa yang patut Ini memang salah satu perkara yang perlu dititikberatkan. Jika ada anak-anak perempuan yang meningkat dewasa, didiklah mereka untuk bangun awal lebih-lebih lagi ketika berkumpul di kampung. Kalaupun tidak tolong di dapur, cubalah kemas apa yang patut. ARTIKEL BERKAITAN: Abang, kakak balik beraya cuma tau melawa, jadi VIP! Adik di kampung bengang dibiar buat kerja, siap tegur ‘pakai baju kelawar je?’ Jangan lupa mengemas dan membersihkan bantal, selimut mahupun cadar sebelum pulang ke ibu kota. Gambar hiasan 4. Basuh sendiri pinggan mangkuk Perlu diingat, tugas mencuci pinggan mangkuk tidak sewajarnya 'dibebankan' di atas bahu wanita sahaja ya. Apa salahnya selepas makan, teruslah basuh pinggan sendiri. Bukan banyak pun... sebiji je. Jangan biasakan longgok dalam sinki. 5. Menantu kena ringan tulang Biasalah, menantu perlu mainkan peranan lebih sikit apabila berada di rumah mentua. Walaupun ramai yang dah tolong masak di dapur, mungkin boleh 'offer' bancuh air, susun biskut raya, pasang langsir dan lain-lain. Pandai-pandailah bawa diri. Janganlah tahu nak bercantik-cantik saja. Menantu lelaki pula boleh kemas bahagian luar rumah atau pergi pasar beli barang keperluan. 6. Lelaki kemas dalam dan luar rumah Kaum lelaki pun apa kurangnya. Banyak tugas yang memerlukan kudrat mereka. Kalau dah nampak kaum Hawa sibuk memasak di dapur, apa kata bab mengemas anda pula yang 'handle'. Contohnya, bersihkan sawang, potong rumput atau menyapu halaman. 7. Tilam batal letak dalam bilik Ini kes bagi yang tidur lambak. Biasakan selepas bangun tidur, terus lipat dan susun di dalam bilik. Bikin sakit mata kalau 'terpampang' saja di ruang tamu. Lagi parah, tak pasal-pasal kena kutuk pula dengan tetamu yang datang beraya. Malunya! Bergotong royong mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga dan sanak saudara. Gambar hiasan 8. Kain selimut, cadar basuh sendiri sebelum balik Ini pun satu perkata yang jarang sebenarnya dilakukan oleh anak menantu yang pulang ke kampung. Kalau anda dah guna untuk tidur berhari-hari, silallah basuh sebelum pulang ke ibu kota. Takkan nak biar mak ayah atau orang lain tolong basuhkan. Ingat, anda bukan sewa hotel! 9. Kemas rumah sebelum pulang Bila dah ramai-ramai berkumpul, mestilah bersepah sedikit rumah. Pendek kata, macam baru lepas kenduri. Jadi janganlah lupa kemas balik pinggan mangkuk, periuk belanga, cuci tandas dan sebagainya. Sanggup ke anda nak biar mak ayah yang kemas semuanya? Gembira sama-sama, buat kerja pun sama-samalah! 10. Duit bil elektrik, air jangan lupa hulur Seronok masing-masing pasang kipas atau pendingin hawa 24 jam, kan? Jangan lupa pula hulur sikit duit untuk perkara yang satu ini. Mak ayah memang tak bising ataupun tak berkira, tapi 'common sense' lah! Waktu beraya juga adalah waktu sesuai untuk memperkenalkan anak-anak dengan sepupu sepapat dan saudara mara. Gambar hiasan 11. Barangan mandi beli sendiri Biasakan membawa alatan mandian atau kebersihan diri dari rumah. Takkan nak 'pow' mak ayah atau adik beradik lain. Elok-elok botol mandian penuh, tiba-tiba dalam dua tiga hari dah 'ringan' sebab semua pakat 'lenjan'. Janganlah berkira, untuk diri sendiri juga kan? 12. Kenalkan sanak saudara kepada anak Seiring dengan dunia yang semakin moden, boleh dikatakan hubungan silaturrahim sesama sanak saudara sudah tak erat macam zaman dulu-dulu. Jangan biarkan perkara ini berlaku kepada generasi anak-anak kita. Bila ziarah raya, kenalkan anak-anak dengan saudara mara dan 'pangkat' mereka. Bukan apa, risau nanti tradisi ini semakin luput. 13. Jaga aurat Akhir sekali tapi penting untuk dititikberatkan adalah soal aurat. Jangan ambil remeh perkara yang satu ini. Bukan apa, bila dah ramai-ramai berkumpul ipar duai sepupu sepapat, tetap ada batasan yang perlu dijaga. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!