suria

Sakura Residency lambang kediaman eksklusif mampu milik di Putrajaya

Sakura Residency yang terletak di Presint 11, Putrajaya.

HULURKAN tangan, ringankan beban.

Prihatin dengan kebajikan dan keperluan golongan kurang bernasib baik, pemaju hartanah, Putrajaya Holdings (PjH) tampil menyampaikan sumbangan kepada 200 keluarga daripada kategori B40 bagi meringankan beban mereka sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PjH, Datuk Hashimah Hashim, seiring dengan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), program yang julung-julung kali dianjurkan dengan kerjasama Star Media Group (SMG) bertujuan menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada keluarga yang terpilih.

pjh 3

Ketua Pegawai Eksekutif PjH, Datuk Hashimah Hashim.

"Sebagai salah satu daripada pemaju hartanah di negara ini, kami mempunyai komitmen untuk diberikan kembali kepada masyarakat sejak sekian lama, dan ini bertujuan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka.

"Menerusi program ini, kami menyediakan keperluan asas dan duit raya kepada beberapa keluarga miskin tegar dari Sepang dan juga Bangi," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

Sejumlah 200 keluarga berkenaan dicalonkan oleh Yayasan MyKasih, sebuah pertubuhan amal bagi membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan melalui bantuan makanan dan pendidikan.

Seramai 10 keluarga daripada 200 keluarga berkenaan terpilih untuk menghadiri program penyerahan sumbangan di samping membeli belah barangan keperluan dapur di Econsave KIP Mall, Kota Warisan, Sepang pada 17 April lalu.

pjh 8

Hashimah (dua, kiri) beramah mesra dengan penerima sumbangan di Econsave KIP Mall, Kota Warisan, baru-baru ini.

Pada acara itu, Hashimah sendiri turut turun padang beramah mesra malah sempat membantu keluarga berkenaan membeli-belah barangan keperluan dapur.

Dalam pada itu tambah Hashimah, PjH sentiasa peka dan cakna dengan hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan masyarakat terutama golongan yang memerlukan.

"Sebelum ini, kami memperuntukkan sejumlah besar peruntukan untuk program CSR seumpamanya, yang bertujuan khusus untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Justeru, kami akan meneruskannya dengan perancangan baik jangka pendek mahupun panjang bagi memastikan program CSR yang kami jalankan adalah mampan dan memberi nilai kepada pihak berkepentingan kami," katanya.

pjh 4

PjH menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan duit raya kepada keluarga B40 yang terpilih.

Susulan daripada penganjuran program CSR kali ini, Hashimah berharap kerjasama yang terjalin dengan SMG dan MyKasih dapat membuahkan hasil positif di samping meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan keluarga yang berkenaan.

"Keduanya, kami juga berharap kerjasama ini akan membawa kepada kerjasama CSR yang seterusnya bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan keluarga lain yang terkesan," ujarnya lagi.

Sakura Residency dijual dengan potongan sebanyak 10 peratus untuk semua rakyat Malaysia dan rebat 10 peratus atau sifar bayaran muka.

DATUK HASHIMAH HASHIM

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PjH

Dalam perkembangan berasingan, ketika menyentuh mengenai projek terbaru PjH yang dilancarkan baru-baru ini iaitu Sakura Residency, Hashimah berkata potongan sebanyak 10 peratus adalah antara keistimewaan yang ditawarkan kepada para pembeli.

"Sakura Residency dijual dengan potongan sebanyak 10 peratus untuk semua rakyat Malaysia dan rebat 10 peratus atau sifar bayaran muka. Selain itu, yuran guaman untuk penyediaan Perjanjian Jual Beli (SPA) serta Duti Setem ke atas kos pemindahan (MOT) akan ditanggung oleh PjH," ujarnya lagi.

Sakura Residency adalah projek pembangunan kediaman bertingkat tinggi sebanyak 463 unit, di Presint 11, Putrajaya dengan tawaran harga yang mampu dimiliki bermula RM350,000.

sakura 2

Sakura Residency bermula dengan tawaran harga mampu milik iaitu RM350,000.

Sakura Residency menggunakan konsep visi kehidupan moden kondusif, dikelilingi kemudahan hijau dan moden, yang semuanya disumbangkan oleh Pelan Induk Putrajaya yang komprehesif serta berpandangan jauh.

Dalam masa yang sama, Hashimah turut menitipkan pesanan kepada rakyat Malaysia khususnya mereka yang akan pulang berhari raya di kampung.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia dan semoga hari raya anda ceria bersama keluarga dan sahabat handai.

"Bagi mereka yang memandu pulang ke kampung, elakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Berwaspada dan patuhi peraturan keselamatan setiap masa. Kekal selamat untuk yang tersayang," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain