HANYA dengan melihat foto buah mangga yang banyak dan merimbun ini, kita sudah dapat mengagak bahawa petua atau baja yang digunakan tuan punya pokok 'menjadi'! Pada awalnya pengguna Facebook Kak Chah hanya ingin berkongsi keterujaan setelah melihat kesuburan pokok mangga yang ditanam. Malah, dahan besar pokok tersebut dikatakan patah gara-gara tidak dapat lagi menampung mangga yang berbuah lebat. “Mangga tepi rumah. Lebat merimbun buahnya. Tak boleh nak tanggung dahannya. “Patah satu dahan besar pula tu. Buah pula belum cukup tua. Bahagi-bahagikan pada jiran tertangga. “Selebihnya buat kerabu mangga. Bahagi dengan jiran juga,” katanya. Kerabu mangga yang dibuat turut diagihkan kepada jiran tertangga. Siapa sangka, ramai pula yang 'geram' melihat buah mangga yang kelihatan besar dan lebat itu. Setelah hantaran di grup Berkebun D Rumah menjadi tular, warga maya mula meminta tip digunakan oleh suri rumah ini. Dengan bermurah hati, Kak Chah membuat suntingan pada hantaran asal dengan menyelitkan 'kaedah rahsia' yang digunakan. “Ramai tanya saya baja apa digunakan. Sebenarnya saya tak ada baja spesifik. “Cuma anak saya bagi tip, dia terbaca satu artikel dari negara Barat. Mereka akan gali lubang sekitar pokok dan tuangkan minyak terpakai dan mendapat hasil yang baik. Minyak masak bekas menggoreng boleh disiram di sekeliling pokok. -Gambar hiasan “Jadi saya cuba dengan menuangkan minyak masak sudah tak digunakan lagi seperti bekas goreng ikan bilis atau hati ayam sekitar dua atau tiga kaki (jarak) dari batang pokok,” ujarnya. Dalam hantaran sama, Kak Chah menceritakan bahawa ia berbuah dari dahan ke dahan dan hasilnya isi mangga menjadi sangat manis. Selain itu, wanita ini turut menyelit petua lain iaitu menaburkan garam di sekeliling pokok berjarak dua hingga tiga kaki dari batangnya. Ia bertujuan untuk mengelakkan buah daripada pokok yang ditanam berulat di bahagian dalam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube