TERDAPAT banyak kebaikan dan kelebihan sekiranya kita rajin menabung. Selain menyimpan duit terkumpul di bank, ada juga individu memilih untuk menabung dengan menggunakan tabung jenis tin, botol atau bekas bertutup ciptaan sendiri. Namun, walaupun simpanan itu nampak selamat berada bersama empunya badan, terdapat perkara buruk boleh berlaku di luar jangkaan. Seperti dikongsikan Lily Noorly Mohd Noor di Facebook, rakannya sendiri mengalami kerugian apabila membuat simpanan menggunakan tabung jenis tin. Dalam hantaran yang tular, Lily menunjukkan bagaimana duit not kertas yang dicampurkan bersama syiling di dalam satu bekas tabung yang sama akhirnya mereput. Gara-gara caranya menabung, dia mengalami kerugian hampir RM1,000. Wang kertas reput dan terkoyak gara-gara disimpan dalam tabung jenis tin. "Allahuakbar, sekadar perkongsian bersama terhadap apa yang terjadi kepada sahabat baik sendiri. Niat nak menabung akhirnya lebur macam tu saja," katanya. Dalam pada itu, Lily turut menitipkan pesanan dan nasihat kepada orang ramai untuk tidak mencampurkan wang kertas dengan duit syiling. "Semua duit dia mereput dan relai (hancur). Hancur apabila nak buka lipatan. Kalau ada sesiapa yang simpan duit dalam tabung tin bercampur duit syiling rasanya lebih baik dielakkan. "Nak kata apa lagi dah kan... hampir RM1,000 lebur macam tu saja. Bawa pergi bank tak tahulah pihak mereka nak terima atau tidak. Bertabahlah sahabat," ujarnya lagi. Bagaimanapun, Lily membuat suntingan semula setelah dua hari hantaran asal dibuat. Jelasnya, rakan yang bernasib malang itu akan membuat pertukaran wang yang rosak dengan pihak bank. Ia berikutan nasihat dan pandangan diberikan oleh orang ramai yang pernah mengalami situasi sama sebelum ini yang dikongsikan di ruangan komen. "Bawa pergi Bank Negara. Kalau bank terdekat tak terima. Pernah buat masa duit terkoyak," ujar netizen di ruangan komen. Menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), wang kertas rosak boleh ditukar tetapi nilai pertukaran bergantung pada keadaan wang kertas tersebut. Untuk proses pertukaran wang rosak ini, anda boleh hadir di mana-mana cawangan bank berhampiran. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube