suria

Sedapnya kulit lembu masak lemak! Raya Haji dah dekat, mari belajar cara bersihkan dengan mudah sampai jadi belulang

Kulit lembu atau belulang boleh dibuat masak lemak cili api.

MASIH ramai yang tidak tahu bahawa kulit lembu atau belulang antara bahagian yang boleh dimakan.

Teksturnya yang kenyal seakan jeli namun rasanya hampir sama dengan perut lembu menjadikan belulang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya.

Walaupun kedengaran janggal bagi rakyat di negara ini, namun masyarakat Jawa sudah pun menjadikan belulang antara makanan tradisi mereka.

Bahagian kulit lembu yang diproses dan disejuk bekukan ini bagaimanapun sudah boleh didapati di beberapa pasaraya.

Kulit lembu boleh didapati di kebanyakan pasaraya.

Namun bagi mereka yang ingin cuba menghasilkannya sendiri di rumah, Hayati Hamgalim berkongsi kaedah dan petua di Facebook.

Cara-caranya:

1. Cari bahagian kulit lembu yang lebih tebal supaya tidak hangus semasa proses membakar.

2. Sapu garam pada bahagian lapisan belah dalam kulit lembu.

3. Jemur kulit lembu selama seminggu supaya kering dengan baik.

4. Bakar bahagian atas dan bawah kulit lembu dengan sempurna menggunakan dapur gas atau kayu api

5. Selepas proses membakar selesai, rendam kulit lembu supaya ia kembali kembang.

6. Kikis lemak dan kulit lembu sehingga bersih.

7. Rebus bahagian kulit yang sudah bersih selama enam hingga lapan jam.

8. Sekiranya masih terdapat lemak dan kulit, boleh teruskan mengikis selepas proses merebus agar kulit tidak berbau.

9. Potong dadu kulit lembu yang siap diproses.

10. Simpan di bahagian sejuk beku.

Kulit lembu perlu dijemur selama seminggu.

Menurut Hayati, proses ini sememangnya sedikit renyah dan memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.

Namun, ia merupakan satu usaha berbaloi apabila dimakan kelak malah kulit lembu ini mampu bertahan selama enam bulan hingga satu tahun di dalam peti sejuk.

Antara menu kulit lembu dicadangkan oleh Hayati yang sedap dimasak adalah tumis kicap pedas, gulai kuning, sambal, masak lemak cili api dan ungkep.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain