MENGURUSKAN hal rumah tangga bukanlah satu hal mudah. Apatah lagi sekiranya bebanan kerja-kerja di rumah hanya dilakukan oleh si isteri yang juga bergelar ibu. Jadi, adalah lebih baik sekiranya pasangan turun mengambil bahagian dalam menguruskan tugasan walaupun sibuk bekerja mencari rezeki. Sebagaimana dikongsikan Abdul Muiez di Facebook, dia bercerita bagaimana cara untuk si suami dapat membantu isteri di rumah setiap malam. “Pukul 11 malam saya akan segera menutup laptop. Cepat-cepat masuk ke dapur untuk cuci pinggan mangkuk dalam sinki. Benda wajib yang saya perlu basuh setiap hari ialah tujuh bekas makanan. Suami isteri perlu saling bantu membantu dalam menguruskan kerja-kerja membersihkan kawasan rumah. “Selesai kerja di dapur, saya bersihkan ruang tamu. Kalau bersepah, saya kemas dan kalau perlu vakum saya akan buat. “Kemudian, saya akan keringkan baju yang dibasuh menggunakan dryer. Apabila pakai baju sukan, ya memang tak perlu digosok tapi perlu dibasuh. Baju sukan ada dua tiga helai sahaja. Itulah yang perlu digilirkan. “Sekitar pukul 12 lebih, saya masuk bilik. Buat apa yang patut dan tidur sekitar pukul 1 atau 2 pagi. Itulah kejutan yang saya boleh buat untuk isteri,” ujarnya dalam hantaran itu. Memahami bahawa ia bukanlah tugasan isterinya seorang, Muiez juga meluahkan rasa simpatinya terhadap suri hatinya itu. Jelasnya yang merupakan seorang pendidik, isterinya terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk menyediakan sarapan dan bekal makanan buat dia dan anak-anak. Isterinya yang tidur seawal pukul 9 malam ini kemudiannya akan mengejutkan dia dan anak-anak menjelang Subuh untuk bersiap ke tempat kerja dan sekolah. Para suami boleh menggembirakan hati isteri dengan membantu mereka di rumah. “Masak apa yang patut untuk dibuat bekal anak-anak dan sediakan sarapan. Setakat ini, tak pernah lagi anak-anak tidak bersarapan sebelum ke sekolah. “Kemudian, sediakan baju untuk semua. Baju sekolah pagi, sekolah petang semua dah disusun dan dimasukkan dalam beg masing-masing. Anak-anak hanya perlu angkat dan masukkan dalam kereta. “Pakaian dalam dryer dikeluarkan, dan dilipat jika perlu. Kalau ada yang perlu digosok seperti tudung anak, dia akan buat. “Setiap hari pukul 5.45 pagi kami dikerah bangun tidur. Setiap orang sudah tahu giliran mandi. Habis mandi, pakaian sudah siap tersedia. Termasuklah pakaian saya. Dan begitulah rutinnya setiap hari,” katanya lagi. Tegas Muiez, dia bagaimanapun bukanlah seorang suami yang ingin dilihat baik apabila membuat hantaran mengenai usahanya membantu isteri. "Kalau begitu rutin harian isteri, tegarkah saya pura-pura tidur untuk tidak membuat apa-apa kerja? Tak tergamak," katanya. Setiap pasangan perlu menghargai usaha suami atau isteri yang berhempas pulas demi keluarga. Menurut Muiez dia sekadar mahu berkongsi idea kepada para suami agar turut sama mengambil bahagian melakukan kerja rumah. Muiez juga kerap berkongsi di media sosial tentang betapa efisyen isterinya menguruskan hal rumah tangga. “Kadang-kadang dia merungut juga. Selalu saya tulis pasal diri dia di Facebook. Malu katanya, macam la orang lain tak buat. “Saya jawab mudah saja. Kalau tak suami sendiri yang tulis mengenai isteri, siapa lagi? Tak ada doa paling tinggi yang saya minta dekat Allah, melainkan masukkan isteri saya ke dalam syurga,” doa Mueiz kepada isterinya kesayangannya itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!