MEREKA yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dilihat sering menggalas beg yang berat. Namun sedarkah anda jika bebanan yang dipikul dilakukan dengan cara yang salah boleh menyebabkan rasa sakit dan lebih membimbangkan kerosakan pada bahagian tulang belakang. Melalui satu perkongsian di TikTok oleh Azna Nordin, seorang lelaki melakukan demonstrasi teknik yang betul untuk menggalas beg bermuatan berat. Ayuh kita lihat satu-persatu bagaimana caranya, jangan sudah terlambat baru hendak tengadah. Tarik beg galas ke atas dan letakkan pada bahagian paha. 1) Bentukkan kaki kekuda Mula-mula letakkan beg galas anda yang sarat dengan barangan di lantai, sandarkannya pada kaki. Dalam keadaan berdiri, lunjurkan sedikit kaki anda ke hadapan untuk membentuk kekuda. Tarik beg tersebut ke atas dan letakkan pada bahagian paha, pastikan beg itu dipegang dengan rapi supaya tidak terlepas daripada pegangan. Di samping itu, luaskan kedua-dua kaki kanan dan kiri agar badan anda lebih stabil. Postur badan yang betul ketika hendak menggalas beg. 2) Bongkokkan ke hadapan postur badan Masukkan satu tangan anda melalui tali penyandang beg, sambil itu bongkokkan postur badan anda ke hadapan. Perkara ini sangat penting kerana jika anda cuba menggalas beg sambil dalam postur badan menegak, bahagian pinggang anda akan menampung stres yang tinggi dan boleh menyebabkan kecederaan. Seterusnya, dengan postur badan masih dalam keadaan membongkok, tarik beg ke belakang untuk menggalas. Kemudian, masukkan sebelah tangan anda lagi melalui tali penyandang beg. Beg galas harus berada lebih tinggi dari aras pinggul. 3) Ketatkan tali penyandang beg Kekalkan postur badan membongkok, pastikan badan anda berasa selesa untuk menggalas beg, lakukan pelarasan yang sewajarnya jika perlu. Ketatkan tali penyandang beg mengikut keselesaan, selepas itu baru tegakkan semula postur badan anda. Jangan lupa kancingkan (buckle) tali beg pada bahagian dada dan pinggang. Sebagai makluman tambahan, beg galas sewajarnya berada lebih tinggi dari aras pinggul ketika digalas, jika lebih rendah dari itu ia boleh menyebabkan ketidakselesaan untuk perjalanan yang jauh. - Azna Nordin Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube