BERCUCUK-tanam sendiri di halaman rumah sememangnya memerlukan kesabaran. Banyak masalah timbul sementara menunggu hasil dapat dinikmati, malah ada yang sering datang membuat 'kacau' sehingga sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditunggu akhirnya rosak. Biasanya tanaman akan dirosakkan oleh haiwan perosak seperti ulat, siput babi, semut dan juga mikroorganisma seperti kulat. Tanaman yang rosak pastinya menghampakan. -Gambar hiasan Menerusi satu hantaran di Facebook oleh Malmisa Swak Lis Lis, ada dikongsikan cara untuk menyelesaikan semua masalah ini dengan hanya menggunakan serbuk penaik! Ayuh kita lihat bagaimana tekniknya. 1) Hilangkan kulat atau jangkitan kehitaman Ambil satu sudu serbuk penaik (baking powder) dan campur dengan satu liter air. Kemudian sembur pada bahagian pokok yang terkena jangkitan. Siput babi boleh menyebabkan kesan berlubang pada daun. -Gambar hiasan 2) Elak siput babi Tabur serbuk penaik di sekeliling tanaman, sudah terbukti siput babi akan melecur jika terkena bahan ini. 3) Jika pokok terkena serangan bena putih (keputihan) Jika ternampak tompok-tompok putih pada daun tanaman anda, itu bermakna pokok anda sedang mengalami masalah keputihan. Ini cara untuk merawatnya. Campurkan satu sudu serbuk penaik dan satu sudu cecair pencuci pinggan dengan satu liter air. Kemudian semburkan setiap minggu pada pokok hingga hilang keputihan. Serangan keputihan pada daun. -Gambar hiasan 4) Daun berlubang akibat ulat Buat campuran serbuk penaik dan tepung jagung, kemudian tabur pada tanaman. 5) Masalah semut pada tanaman Campurkan serbuk penaik dengan sedikit gula, kemudian tabur di laluan semut yang menyerang tanaman anda. - Malmisa Swak Lis Lis Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube