suria

Kenali 6 ‘red flag’ di tempat kerja... Jika wujud, maknanya sudah sampai masa angkat kaki!

Pelbagai faktor yang mendorong seseorang mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di tempat baharu. -Gambar hiasan

TAK sampai setahun bekerja tapi sudah mula terasa nak bertukar angin?

Mungkin ada dalam kalangan anda pernah merasai semangat berkobar-kobar ketika mula bekerja, namun lama-kelamaan perasaan tersebut semakin pudar.

Dalam tidak sedar, ia secara tidak langsung membuatkan motivasi serta prestasi anda semakin merudum.

Sudah semestinya terdapat pelbagai faktor ataupun 'red flag' yang mendorong kepada situasi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapuk! Jangan tulis mahir guna Microsoft Office... Ambil tahu cara terkini buat resume demi tambat hati bakal majikan

Apa yang pasti, sekiranya anda sudah mula mengesan 'red flag' di tempat kerja sekarang, itu adalah petanda bahawa sudah tiba masanya untuk membuat penilaian semula mengenai kerjaya.

Berikut merupakan enam 'red flag' yang perlu anda beri perhatian dan petanda untuk mula mencari kerja baharu sebagaimana perkongsian laman carian kerja Flexjobs:

1) Kerja tidak diiktiraf

Tinjauan Bonusly, iaitu sebuah platform dalam talian untuk pengiktirafan, ganjaran dan penglibatan pekerja, mendapati bahawa 46 peratus responden meninggalkan pekerjaan mereka kerana berasa kurang dihargai.

Iya, tidak perlu pingat, hadiah ataupun kata-kata pujian yang kerap, namun pengiktirafan terhadap tugas yang dilakukan dengan cemerlang atau sumbangan yang dicurahkan kepada syarikat sebenarnya penting sebagai pendorong agar pekerja akan lebih bersemangat serta terasa dihargai.

Jika sumbangan anda secara konsisten tidak dihargai, mungkin sudah tiba masanya untuk mula mengemas kini resume.

kerja 1

Dibebani tugasan sehingga menyebabkan stres juga boleh mendorong seseorang mengambil keputusan berhenti kerja. -Gambar hiasan/Azman Ghani/The Star

2) Batasan etika dilanggar

Setiap daripada kita semestinya mempunyai prinsip hidup. Andai kata anda diminta untuk melakukan tugasan yang bertentangan dengan prinsip, etika atau moral, apakah tindakan anda?

Berdiam diri dan menutup mata pasti membuatkan anda tidak senang duduk.

Jadi sebagai seorang yang berprinsip serta tidak mahu 'bersubahat', tindakan yang sesuai adalah 'angkat kaki'.

3) Berasa sangat tertekan dan stres

Menerusi satu tinjauan kesihatan mental oleh Workable, didapati 40 peratus daripada majikan menganggap kesihatan mental sebagai faktor utama dalam produktiviti dan prestasi pekerja.

Justeru, jika anda berasa tugasan yang dipikul begitu membebankan fizikal dan mental sehingga memberi kesan kepada kesihatan, sudah tiba masanya untuk membuat perubahan.

4) Tidak boleh menjadi diri sendiri di tempat kerja

Setiap orang mempunyai karakter tersendiri. Ada kalanya, seseorang mempunyai dua karakter berbeza, iaitu apabila berada di tempat kerja dan ketika di luar waktu kerja.

Terlalu menjadi diri sendiri kadang-kala mendatangkan kesukaran kerana tidak semua orang suka menyenanginya.

Boleh jadi, persekitaran komuniti di tempat kerja dengan karakter anda 'seperti langit dan bumi'. Anda mungkin penat untuk berpura-pura, justeru langkah yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah mencari tempat kerja baharu yang sesuai dengan jiwa anda.

toxic

Dikelilingi rakan sekerja yang mempunyai pelbagai karenah juga salah satu faktor yang mendorong seseorang tertekan. -Gambar hiasan

5) Persekitaran kerja yang toksik

Tempat kerja yang toksik adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan persekitaran yang dipenuhi dengan konflik peribadi atau krisis sesama rakan sekerja.

Sebagai contoh, ada rakan sekerja yang bersifat talam dua muka, kaki kipas, kaki 'penyampai', kaki gosip dan sebagainya.

Tidak dapat tidak, pasti ada dalam kalangan rakan sekerja kita yang mempunyai perangai sebegini. Sudah tentu penat mahu menghadap 'drama swasta' saban hari, bukan?

6) Tiada kenaikan gaji

Untuk makluman, penetapan gaji adalah mengikut budi bicara majikan dan kontrak pekerjaan yang dimasuki.

Ini termasuklah perkara berkaitan kenaikan gaji pekerja.

Dalam soal ini, jika anda merasakan majikan tidak melaksanakan kenaikan gaji sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak, tambahan pula anda sudah bertahun-tahun berkhidmat selepas disahkan dalam jawatan serta tidak mempunyai masalah disiplin, mungkin sudah tiba masanya untuk 'angkat kaki'.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain