suria

iPhone 15 mula dijual di kedai 29 September, ini senarai harga dan spesifikasi 4 variasi... Pasti ramai tak tidur lena!

iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max datang dalam warna titanium hitam, titanium putih, titanium biru dan titanium natural. - Gambar Apple

BERITA yang paling ditunggu-tunggu buat penggemar iPhone!

Syarikat teknologi gergasi Apple Inc pada Rabu melancarkan model terbaharu iPhone 15, sekali gus menamatkan penantian ramai penggunanya di seluruh dunia.

Untuk generasi terbaharunya, Apple berkata iPhone 15 menampilkan beberapa ciri untuk menambat pengguna iaitu kamera yang lebih baik, pemproses yang lebih pantas dan sistem pengecasan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada ke yang sanggup jual buah pinggang? Lihat senarai penuh harga iPhone 14 mengikut storan... Paling murah RM4,199

Tampil dengan empat variasi, berikut merupakan harga bagi iPhone 15:

iPhone 15: bermula daripada RM4,399

iPhone 15 Plus: bermula daripada RM4,899

iPhone 15 Pro: bermula daripada RM5,499

iPhone 15 Pro Max: bermula daripada RM6,499

Berikut merupakan antara spesifikasi pada model iPhone baharu ini:

1) Siri iPhone 15 ini akan menggantikan penggunaan kabel jenis Lightning kepada pengecasan USB-C, sekali gus menyeragamkan kabel wayar pengecas dengan MacBook.

2) Keempat-empat model iPhone 15 mempunyai Dynamic Island, iaitu paparan berbentuk pil di bahagian atas yang juga mengandungi kamera selfie TrueDepth.

Dynamic Island bertindak seperti skrin kedua. Pengguna boleh melihat maklumat daripada pelbagai aplikasi tanpa perlu membuka aplikasi itu sendiri.

iPhone 15 dan iPhone 15 Plus

1) iPhone 15 yang berukuran 6.1 inci dan iPhone 15 Plus yang berukuran 6.7 inci datang dalam warna hitam, biru, hijau, kuning dan merah jambu.

2) Dilengkapi dengan kamera utama 48 megapiksel (MP), membolehkan telefon menangkap gambar lebih terperinci berbanding sebelum ini. Kamera ultralebar 12 megapiksel masih sama.

3) Dikuasakan oleh cipset A16 bionic yang menguasakan fotografi pengiraan dan prestasi permainan yang lancar dengan kecekapan hebat untuk hayat bateri sepanjang hari.

4) Storan: 128GB, 256GB, 512GB

ip3

Pilihan warna untuk iPhone 15 dan iPhone 15 Plus.

iPhone15 Pro dan Pro Max

1) iPhone 15 Pro yang berukuran 6.1 inci dan iPhone 15 Pro Max yang berukuran 6.7 inci datang dalam warna titanium hitam, titanium putih, titanium biru dan titanium natural.

2) Penambahan kamera 'periscope zoom' yang eksklusif untuk model iPhone 15 Pro Max.

Teknologi ini mendayakan zum optik 5X, untuk membolehkan penggunanya menangkap subjek pada jarak yang berkualiti tinggi. iPhone 15 Pro pula dihadkan pada zum 3X.

3) Dikuasakan oleh cipset A17 Pro, yang menjanjikan prestasi 10 peratus lebih pantas, dan enjin 2X lebih pantas.

4) Action Button yang menggantikan butang mute klasik di sisi kiri. Pengguna boleh customize butang ini untuk melakukan aksi tertentu, seperti menukar ke mode senyap, menghidupkan flashlight atau mengambil foto dengan kamera.

5) Storan iPhone 15 Pro: 128GB, 256GB, 512GB dan 1TB, manakala storan iPhone 15 Pro Max: 256GB, 512GB dan 1TB.

Pengguna boleh mula melakukan tempahan (pre-order) bermula 22 September 2023 ini melalui laman rasmi Apple.

Bagi anda yang ingin membeli di kedai, ia akan mula dijual secara fizikal bermula 29 September 2023.

Macam mana, boleh tidur lena atau tidak selepas mengetahui senarai harga iPhone 15?

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain