suria

Panik hidung si bulus tertanggal? Ambil tahu jenis penyakit kulit kucing dan rawatannya

Segeralah bawa si bulus bertemu doktor veterinar sekiranya terdapat simptom yang tidak normal. -Gambar Twitter iimcub

MANJA, montel dan aktif... ini antara ciri-ciri si bulus yang sihat.

Namun sama seperti manusia, kesihatan kucing juga ada turun naiknya.

Sebagai pemilik, anda perlu peka dengan sebarang perubahan fizikal atau tingkah laku si bulus agar ia dapat dirawat segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Salah satu penyakit yang biasa menyerang kucing adalah penyakit kulit.

ARTIKEL BERKAITAN: Tolong pujuk! Ini tanda-tanda si bulus kesayangan sedang bersedih

ARTIKEL BERKAITAN: Jaga si bulus bukan sekadar bagi makan, nutrisi juga penting... ini yang anda perlu tahu!

Baru-baru ini seorang lelaki membuat perkongsian di aplikasi X (Twitter) dengan memuat naik gambar kulit hidung kucingnya yang tertanggal, bagi meminta pandangan warga maya.

Rata-ratanya menasihatkan lelaki berkenaan segera membawa kucingnya bertemu dengan doktor haiwan kerana dibimbangi ia adalah simptom jangkitan fungus atau sporo.

Sebagai panduan bersama, ayuh kita ambil tahu mengenai jenis penyakit kulit yang biasa menyerang si bulus sebagaimana perkongsian laman Whiskas.com:

1) Jerawat

Biasanya disebabkan oleh pertumbuhan bakteria, serta peningkatan pengeluaran keratin (protein yang terdapat dalam kulit), yang boleh menyekat folikel rambut. Ia berupa bintik hitam yang muncul di bawah bibir dan dagu. Si bulus akan cenderung menggaru kawasan yang dijangkiti. Jerawat pada kucing boleh dirawat dengan syampu berubat, salap dan tekanan hangat.

2) Kudis

Kebanyakannya berpunca daripada hama. Situasi ini menyebabkan keradangan, bengkak dan keguguran bulu. Menggaru dengan berlebihan boleh memburukkan lagi keadaan, menyebabkan kudis dan kemerahan. Jika kucing anda dilihat sentiasa menggaru dirinya, anda disarankan untuk membawanya bertemu doktor haiwan untuk mendapatkan diagnosis. Kudis pada kucing bagaimanapun mudah dirawat melalui ubat-ubatan topikal dan rawatan kawalan kutu, selain menukar tempat tidur baru yang bersih.

ticks

Haiwan berbulu seperti kucing dan anjing sering dihinggapi ticks. -Gambar dpa

3) Tick

Tick boleh menjadi teruk dari masa ke masa, membawa kepada penyakit Lyme dan babesiosis jika tidak dirawat. Tick kucing adalah parasit penghisap darah yang sering ditemui pada kucing luar. Jika kucing anda suka 'mengembara' di luar rumah, adalah penting untuk memerhatikan tick pada bulunya. Anda boleh memeriksa kutu pada kucing dengan menyisir bulunya dengan tangan anda.

4) Jangkitan kulat atau fungus

Jangkitan kulat sangat menular dan boleh merebak kepada manusia dan haiwan lain, jadi adalah penting untuk memastikan langkah berjaga-jaga yang sesuai sebelum merawat kucing yang didiagnosis dengan jangkitan kulat. Boleh dikenal pasti melalui timbulan bulatan merah yang boleh menebal dan membentuk kerak, disertai dengan penyusutan yang berlebihan pada kawasan yang terlibat. Jika mengesyaki si bulus terkena jangkitan kulat, segera bawanya ke klinik.

Tanda-tanda am masalah kulit kucing

1) Keguguran bulu

2) Kulit gatal

3) Kudis

4) Kulit mengelupas, kutil dan benjolan adalah tanda-tanda masalah kulit yang ketara pada kucing.

kucing

Jika keadaan kucing tidak sembuh selepas membuat rawatan di rumah, segeralah bawa ia bertemu doktor veterinar. -Gambar hiasan

Merawat penyakit kulit kucing di rumah

1) Mandian teh

Langkah ini dapat meredakan keradangan dan kegatalan kulit. Kucing kesayangan anda juga boleh menikmati mandian santai yang menyenangkan daripada chamomile, calendula dan teh hijau, yang terkenal dengan ciri-ciri yang melegakan.

2) Cuka sari epal dan semburan air

Kucing yang mengalami kulit mengelupas dan gatal boleh diredakan dengan semburan menyeluruh menggunakan larutan yang mengandungi cuka sari epal dan air. Ia juga berkesan dengan alahan kulit dan ruam.

3) Minyak kelapa

Salah satu perubatan di rumah yang popular untuk masalah kulit pada kucing kerana kandungan anti bakteria dan anti kulat yang tinggi. Ia boleh melegakan kesan jangkitan, alahan dan gigitan serangga.

Bagaimanapun, jika gejala penyakit kucing anda serius dan tidak menampakkan tanda-tanda sembuh selepas kaedah perubatan alternatif dilakukan, segeralah bawa bertemu dengan doktor haiwan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain