SEBAGAI pengguna jalan raya, ada waktu di mana kita tanpa sengaja melakukan kesalahan lalu lintas sehingga menerima saman daripada pihak berkuasa. Bagi kesalahan yang tidak boleh dikenakan kompaun, pesalah dikehendaki hadir ke mahkamah untuk menyelesaikannya. Pesalah akan menerima surat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlebih dahulu yang akan memaklumkan butiran seperti kesalahan dilakukan, lokasi, tarikh serta waktu untuk mereka hadir ke mahkamah. Mungkin anda antara yang pertama kali berdepan dengan pengalaman seperti ini? ARTIKEL BERKAITAN: Lega insurans dan cukai jalan kini dah boleh bayar ansuran! Ini caranya... Tiada faedah, urusan pun mudah dan pantas Pasti berlegar-legar di dalam fikiran mengenai persediaan yang perlu dilakukan sebelum hadir ke mahkamah. Jangan bimbang, peguam, Hafiz Baharuddin berkongsi panduan bagaimana menyelesaikan saman berkaitan kesalahan jalan raya di mahkamah, sebagai persediaan bersama. Berikut adalah perkongsian beliau: 1) Ketika hari perbicaraan, dokumen-dokumen yang perlu dibawa ke mahkamah adalah kad pengenalan, lesen memandu, resit saman JPJ dan juga wang tunai atau kad debit. Pastikan kad tersebut mempunyai jumlah yang mencukupi kerana anda perlu membayar denda selepas perbicaraan. 2) Amat digalakkan untuk hadir ke mahkamah seawal mungkin dan perlu sampai sebelum pukul 9 pagi. Ini kerana pegawai JPJ akan membuat semakan setiap penama saman yang hadir. Jika lewat dan pendaftaran telah ditutup, maka anda perlu pergi ke pejabat JPJ untuk mendapatkan tarikh perbicaraan baharu. 3) Pergi ke kaunter pertanyaan mahkamah, tanya mengenai di mana saman-saman JPJ akan didengari. Selepas dimaklumkan, terus menghala ke bilik yang dimaksudkan. 4) Tunggu sehingga nama dipanggil dan anda akan menghadap Majistret. Jurubahasa akan membacakan kesalahan anda, jumlah maksimum denda yang dikenakan dan ditanya untuk mengaku kesalahan. Kebiasaannya dalam kesalahan trafik, rata-rata pesalah akan mengaku kesalahan kecuali jika rasa tidak bersalah dan boleh memohon untuk dibicarakan. Jika anda mengaku bersalah, anda perlu merayu kepada Majistret supaya hukuman atau denda diringankan. 5) Selepas diberitahu jumlah denda, ada dua cara untuk membayar di mahkamah. Pertama, menggunakan wang tunai di mesin CDM, kedua, bayaran secara kad debit. Untuk bayaran secara kad debit, pergi ke kaunter pendaftaran kerana di situ ada terminal kad debit atau kad kredit. Ambil resit yang dikeluarkan, kepilkan bersama salinan jumlah saman yang dikeluarkan. Bawa kedua-duanya kepada pegawai JPJ. Kes saman trafik anda dah selesai! Moga dengan perkongsian ini, anda lebih cakna dan bersedia pada masa hadapan jika berdepan dengan kes saman trafik di mahkamah. Semoga bermanfaat! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube