suria

Tuah penyertaan saat akhir, juara Pantun Lakon BSN x DBP 2023 bawa pulang 2 hadiah

Dari kiri, Muhammad Shamsuri, Mohamad Syafeq dan Noraznie merupakan tiga pemenang utama.

TAK sia-sia hantar penyertaan pada saat akhir.

Demikian kata Mohamad Syafeq Zainal Amin, 27, selepas menjuarai Pertandingan Pantun Lakon 2023 anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Selasa malam.

Menerusi pertandingan akhir yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Mohamad Syafeq menewaskan lima peserta lain, sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai RM3,500.

"Saya tahu mengenai program ini selepas melihat hantaran di media sosial. Sebenarnya saya agak sibuk dengan kerja, jadi saya antara yang terakhir menghantar video, 30 minit sebelum penyertaan ditutup.

Mohamad Syafeq raih gelaran juara dan persembahan lakon terbaik dalam pertandingan akhir Pantun Lakon BSN X DBP 2023.

Mohamad Syafeq meraih gelaran juara dan persembahan lakon terbaik. -Gambar CHAN TAK KONG/The Star

"Syukur, ia diterima. Semua pantun dicipta sendiri. Saya hanya buat persediaan untuk pertandingan akhir sejak Ahad lalu. Saya cuma berkelapangan pada waktu malam. Raptai pun kurang 24 jam sebelum pertandingan akhir.

"Sasaran awal nak masuk ke peringkat akhir saja. Tak sangka dapat jadi juara. Ini sekali gus merawat kesedihan saya yang tak menang apa-apa dalam pertandingan sebelum ini," ujar pemuda itu.

Dalam pertandingan akhir itu, Mohamad Syafeq yang merupakan perekrut bakat turut memperoleh kemenangan menerusi persembahan lakon terbaik dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.

Sementara itu, Noraznie Syakirah Mohd Nor yang meraih gelaran naib juara menerima wang tunai RM2,500 dan dinobatkan sebagai pemantun terbaik dengan hadiah RM500.

file7sbzxxvej8y1hmxm6lqe

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari berucap pada pertandingan akhir di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Pemenang tempat ketiga Muhammad Shamsuri Hashim menerima RM1,500, manakala Muhammad Hanif Haikal Kamaruzzaman, Muhammad Ikhawan Hakimi Mohd Yusof dan Nur Fatin Anina Nor Azman pula masing-masing menerima hadiah sagu hati RM500.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari berkata pihaknya berbesar hati dengan komitmen rakan kerjasama iaitu BSN yang memberi impak besar dalam penganjuran program berkenaan.

"BSN telah memberikan satu impak yang sangat besar dengan mengangkat program bertemakan pantun sebagai program utama mereka pada tahun ini. Penglibatan pihak korporat amat penting dalam usaha menyebarluaskan bahasa dan sastera kepada kelompok masyarakat terutama golongan profesional.

"Semoga usaha dan kerjasama ini terus berterusan pada masa akan datang. Atas rasa kebersamaan inilah, kita mampu memacu lebih banyak hasil yang bersifat kreatif, inovatif dan interaktif yang bertunjangkan bahasa dan bersendikan sastera," ujarnya.

Peserta menggabungkan elemen berbalas pantun dan lakonan pentas dalam pertandingan akhir.

Untuk rekod, peringkat saringan pertandingan berkenaan telah berlangsung pada 1 hingga 31 Ogos yang lalu secara dalam talian melalui medium media sosial Facebook, Instagram dan TikTok.

Sebanyak 48 penyertaan daripada peserta berumur 18 hingga 40 tahun diterima dan enam peserta terbaik terpilih mara ke peringkat akhir.

Peserta yang perlu menggabungkan elemen berbalas pantun dan lakonan pentas perlu bertanding secara berpasukan melalui tiga pusingan pertandingan, namun diadili secara individu.

Selain memperkasa elemen seni itu, pertandingan ini turut menerapkan elemen simpanan melalui topik pantut lakon bagi menggalakkan tabiat menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, ia turut bertujuan mempromosi produk dan perkhidmatan BSN berkaitan simpanan, selari dengan bulan Tabungan Sedunia yang disambut pada Oktober setiap tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan