SERAMAI 10 individu dan organisasi diberi pengiktirafan dan penghormatan selepas melakukan pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada masyarakat dan alam sekitar menerusi penganjuran Star Golden Hearts Award (SGHA) pada Khamis. Proses pemilihan bermula pada Jun dengan pencalonan daripada orang awam yang mengundi organisasi amal dan individu pilihan masing-masing. Seterusnya barisan panel hakim memilih 10 pemenang daripada 731 pencalonan. Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, Lang Tengah Turtle Watch (LTTW), Organisasi Penyelidikan MareCet, Yayasan Starfish Malaysia, Pacos Trust, The Asli Co., Kelab Alami, Buku Jalanan Chow, Japson Wong, dan Graze Market yang berdedikasi menangani pelbagai isu dipilih sebagai penerima anugerah tahun ini. Inisiatif mereka memberi impak merangkumi pendidikan untuk golongan kurang bernasib baik, pemuliharaan hidupan liar, kitar semula sisa mampan serta meningkatkan kehidupan masyarakat Orang Asli. 10 pemenang ini menerima RM15,000 setiap seorang sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan dan teladan mereka dalam memberi impak positif kepada kehidupan orang lain dan alam sekitar. Dalam pada itu, Gamuda Inspiration Award (GIA) oleh Yayasan Gamuda yang ditunggu-tunggu dianugerahkan kepada dua organisasi yang melakukan perubahan sosial luar biasa, iaitu Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo dan Organisasi Penyelidikan MareCet, yang mana kedua-duanya menerima geran berjumlah RM150,000 setiap satu. Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, yang terkenal kerana sentiasa berusaha melindungi dan memulihara ikonik Borneo, Beruang Matahari menunjukkan kemajuan ketara dalam bidang pemuliharaan hidupan liar. Organisasi Penyelidikan MareCet pula kekal memberi harapan kepada peminat hidupan marin dengan usaha pemuliharaan dan penyelidikannya berkaitan mamalia marin, disokong oleh program pendidikan dan sukarelawan yang meluas. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Star Media Group (SMG), Alex Yeow dalam ucapannya memuji para pemenang atas usaha dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi dalam usaha melakukan perubahan dalam masyarakat. “Seperti yang anda tahu, ciri utama anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi dan mengiktiraf wira yang tidak didendang. Saya percaya usaha yang dijalankan oleh semua individu di sini benar-benar telah membuat perubahan dalam komuniti dan membantu mengekalkan persekitaran kita dalam beberapa cara yang lain. "Usaha yang dilakukan benar-benar memberi inspirasi apabila anda melaksanakannya dalam keadaan yang berbeza daripada kebanyakan kami. Anda sentiasa berada di lapangan, menghubungi mereka yang sangat memerlukan bantuan, bekerja di tempat yang kadang kala boleh membahayakan diri dan melakukan beberapa tugas yang paling mencabar dan kompleks. “Projek inovatif dan berimpak yang kami lihat semasa tempoh penjurian sememangnya menakjubkan. Melalui kerja-kerja yang dilakukan, anda telah menunjukkan profesionalisme dan kreativiti dalam menangani masalah sosial dan alam sekitar,” tambahnya. SGHA yang kini sudah memasuki tahun kesembilan penganjurannya terus mempamerkan usaha luar biasa yang dilakukan oleh rakyat negara ini untuk Malaysia. Sekitar majlis Star Golden Hearts Award yang berlangsung di Cybertorium Menara Star. Diadakan di Cybertorium Menara Star, SGHA dihadiri lebih 150 individu terdiri daripada penerima anugerah semasa dan terdahulu, bersama tetamu dari sektor sosial bagi meraikan tindakan transformatif dan usaha baik yang mereka lakukan. SGHA 2023 ialah inisiatif bersama antara Star Media Group dan Yayasan Gamuda untuk menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong tindakan amal dalam komuniti dan bukan untuk kepentingan diri. Yeow dalam ucapannya turut berterima kasih kepada Yayasan Gamuda atas kesediaan berterusan mereka untuk mengambil bahagian dalam anugerah ini, kerana ini adalah satu langkah ke arah memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendedikasikan diri terhadap perkara yang memberikan manfaat. “Bagi pihak Star Media Group, kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Gamuda atas sokongan berterusan mereka terhadap anugerah ini. “Terima kasih kerana berkongsi visi dan kepercayaan yang sama untuk anugerah berprestij dan bermakna ini. Bersama-sama, kita mampu mendorong perubahan melalui kerjasama yang konsisten,” kata Yeow. Ketua Yayasan Gamuda, Ts Lim Hui Yan berkata, memberi penghormatan terhadap kerja-kerja yang menyumbang kepada perubahan sosial melalui geran GIA, menyerlahkan lagi komitmen dan semangat mereka yang tidak berbelah bahagi tanpa apa sesiapa pun yang terlepas pandang atau ketinggalan. "Anugerah ini meraikan pencapaian dan mendorong mereka untuk terus memberi impak positif kepada dunia kita. Majlis diserikan lagi dengan persembahan daripada Sarah Ow dan Joshua Danial Johnson. "Kami gembira dengan pencalonan tahun ini, kerana ramai yang terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif sosial dan menunjukkan fokus terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar. "Pemenang GIA tahun ini menunjukkan potensi untuk tindakan kolaboratif dalam mewujudkan dunia yang lebih baik untuk hidupan darat dan marin. Usaha mereka terus memberi inspirasi kepada kita semua," tambahnya. Untuk tahun kesembilan berturut-turut, Tan Sri Lee Lam Thye mengetuai panel juri yang terdiri daripada pakar dan pihak yang banyak terlibat dalam sektor kebajikan sosial. Individu-individu ini dipilih berdasarkan pengetahuan dan bidang kepakaran masing-masing. “Memandangkan saya berada dalam panel penilai ini sejak sembilan tahun lalu, saya dapat melihat bagaimana program anugerah ini telah berkembang. "Malah, ini sebenarnya sesuatu yang dinantikan kerana ia memberi saya peluang untuk melihat kerja yang dilakukan oleh rakyat Malaysia membantu orang ramai, komuniti, haiwan dan alam sekitar. "Sungguh mengagumkan apabila dapat melihat kerja-kerja yang dilakukan dan apa yang telah mereka capai," kata Lee. Barisan juri termasuk Ketua Pegawai Kandungan SMG, Esther Ng; Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pegawai ESG Gamuda Berhad, Ong Jee Lian; Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak dan Pakar Pemuliharaan, Shah Redza Hussein; Pengurus Unit Perusahaan Sosial Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Muhammad Hafizul Khair Mohd Yusuf; naturalis, pemuliharaan dan pendidik, Irshad Mobarak; aktivis sosial terkemuka Syed Azmi Alhabshi serta Perunding Perlindungan Kanak-kanak dan Bekas Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Vijayakumari Pillai. Dari kiri: Lee Lam Thye, Lim Hui Yan, Naib Pengerusi dan Pengasas Bersama MareCet, Fairul Izmal Jamal Hisne, Pengasas dan Ketua Eksekutif Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, Wong Siew Te, Alex Yeow dan Ong Jee Lian. Semasa majlis anugerah berlangsung, penonton turut terpukau dengan persembahan Sarah Ow dan Joshua Danial Johnson. Pelajar neurodivergen diiringi oleh pemenang tahun lalu, Edwin Nathaniel. Sementara itu, pemenang SGHA dan GIA 2022, Iskul Sama Dilaut Omadal, berkongsi kisah menyentuh hati mereka dalam memperjuangkan komuniti di Pulau Omadal, Sabah. Acara itu juga menganjurkan gerai yang menjual barangan dan produk bertujuan untuk kebajikan sosial. Gerai yang mengambil bahagian terdiri daripada The Asli Co., Buku Jalanan Chow Kit, Graze Market, Seven Tea One dan beberapa lagi. Untuk maklumat lanjut mengenai anugerah, layari sgha.com.my. Kisah istimewa mengenai pemenang akan diterbitkan kemudian pada bulan November. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube