ACARA keramaian seperti sambutan hari jadi dan majlis pertunangan pasti tidak lengkap jika tiada sesi makan-makan. Selain makanan utama seperti nasi atau aneka mi, tuan rumah juga biasanya akan menghidangkan kuih muih, agar-agar, kek atau manisan lain sebagai pencuci mulut (dessert). Terbaharu, tular di X kisah seorang peniaga yang menawarkan tujuh jenis pencuci mulut dengan harga serendah RM250, sesuai untuk ditempah bagi memeriahkan majlis di rumah anda. Menurut Kikin Saad atau Kin, dia bersama tiga rakan niaga lain baru berjinak-jinak berniaga pencuci mulut sejak Julai lalu. "Saya dan kawan-kawan suri rumah ni baru saja mula berniaga empat bulan lalu. Tapi kami buka gerai tepi jalan pada hari Jumaat dan Sabtu saja. Antara pencuci mulut dijual Kin. "Antara pencuci mulut yang dijual seperti brownies, cheese tart, egg tart, pavlova, kek batik dan beberapa lagi jenis pastri seperti tuna puff, sardine puff dan chicken pot pie. "Menu kami buat berbeza-beza setiap minggu supaya pelanggan tak jemu. Kami buka hari minggu saja supaya orang akan rasa rindu nak beli dessert kami," ujarnya ketika dihubungi mStar. Jelas Kin yang berusia 30 tahun, terdapat tiga pakej ditawarkan masing-masing berharga RM200, RM500 dan RM800 tidak termasuk caj tambahan dekorasi dan pengangkutan bagi mereka yang berminat dengan servis dessert table. Katanya, tujuan utama mereka membuka perniagaan ini adalah untuk memudahkan warga Kluang, Johor dan sekitarnya yang mahu mengadakan sebarang majlis dengan aneka manisan siap terhidang di satu meja khas. Kin dan rakan-rakannya hanya berniaga pada hari minggu. "Tempat kami ni merupakan sebuah pekan kecil saja. Kami beri fokus kepada pelanggan yang teringin nak buat majlis penting yang ada dessert table. "Buat masa sekarang RM250 tu harga promosi untuk warga sekitar Kluang saja. Kalau di luar kawasan, kami akan tambah caj. "Kami memang akan hias sekali setiap kali hantar dessert untuk memudahkan pelanggan yang tempah dengan kami. Kita pun sedia maklum barang dekorasi kalau nak beli untuk sekali pakai je pun tak berbaloi, jadi kami buat siap-siap," ujarnya. Jelas Kin, dia berharap agar perniagaan secara kecil-kecilan ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Kin juga menjual pelbagai jenis pastri selain pencuci mulut. Malah, wanita ini tidak menyangka bisnes yang baru sahaja diusahakan ini mendapat pujian daripada pelanggan yang merupakan seorang TikToker. "Saya tak sangka betul pelanggan saya baru-baru ni seorang TikToker yang terkenal. Patutlah masa tengah set up tu dia sibuk ambil video dan gambar. Bila dah siap kemas memang dia puji lawa dan beritahu saya dia nak post video dekat TikTok. "Apa-apa pun harapan saya dan rakan-rakan niaga lain semestinya dapat buka kafe kecil suatu hari nanti. Buat masa sekarang, kalau dapat bantu suami cari duit untuk bantu famili sendiri pun sudah lebih dari cukup," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube