BLENDER atau pengisar antara perkakas yang amat penting di dapur. Disebabkan terlalu kerap digunakan untuk mengisar pelbagai jenis bahan untuk masakan, semestinya alat ini mempunyai kesan kotoran dan berminyak. Malah, bahagian mata pengisar juga pastinya menjadi tumpul apabila pengisar kerap digunakan. Terdapat pelbagai cara dikongsi di internet yang boleh kita gunakan untuk mencuci pengisar seperti menggunakan soda bikarbonat dan limau purut. Kaedah-kaedah tersebut mungkin berkesan untuk membersihkan alat itu tetapi tidak dapat menajamkan semula mata pengisar. Seorang wanita di TikTok, noor_wan19 menunjukkan cara yang digunakan untuk membersihkan dan menajamkan semula mata pengisar menggunakan kulit telur. Kisar kulit telur yang dimasukkan bersama air. Katanya, kulit telur perlu disimpan terlebih dahulu di dalam peti sejuk setelah dicuci dengan bersih. Kemudian, masukkan kulit telur sejuk ke dalam pengisar dan kisar menggunakan sedikit air. Hasilnya, kesan minyak akan hilang dan mata pengisar akan menjadi lebih tajam. Selepas siap dikisar, tuang serpihan kulit telur pada pokok hidup yang berfungsi pula sebagai baja untuk memberikan nutrisi kepada tanah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube