RAMAI dalam kalangan kita percaya bau hancing pada ikan pari betina adalah disebabkan datang bulan. Namun, pemilik pasar raya Tropika Freshmart Bangi di Selangor, Asmah Chem yang sudah berniaga sekitar lapan tahun menyangkal teori tersebut. Dalam hantaran di Facebook pada awal November, wanita ini berkongsi fakta dan punca dari sudut sains mengenai bau busuk hancing yang boleh terhasil pada ikan pari. "Sebenarnya ia adalah mitos semata... kerana pari bukanlah mamalia yang mempunyai endometrium. Jadi pari tak mungkin terlibat dengan kitaran haid. "Pari bertelur dan anaknya menetas di dalam badan. Selepas menetas, anak tersebut dikeluarkan dari badan. Jenis reproduksi ini dinamakan ovovivipar. Ikan pari yang segar tidak mengeluarkan bau hancing. "Sebenarnya di dalam badan pari terdapat urea dan trimethylamine oxide (TMAO) yang berfungsi untuk menstabilkan protein bila kepekatan urea tinggi," katanya. Apabila ikan pari mati, ikatan peptida protein terurai kepada cyanate dan ammonium seterusnya membebaskan karbon dioksida dan ammonia. Jelasnya, ammonia terhasil apabila ikan pari mati dalam tempoh lama yang kemudiannya menghasilkan bau hancing lebih-lebih lagi dalam organ haiwan laut tersebut. "Sebaik saja naik dari jeti, pari terus dibawa ke kedai, siang (sembelih), buang organ dan potong. Tidak pernah ada yang hancing kerana ia segar. "Hakikatnya, pari hancing disebabkan tidak segar. Bukan disebabkan datang haid. Berhenti mempercayai mitos yang bertentangan dgn ilmu Sains," katanya lagi. Ikan pari merupakan hidangan makanan laut yang biasa menjadi pilihan orang ramai. Asmah juga tidak kedekut untuk berkongsi cara memilih pari segar dalam hantaran sama. Katanya, teliti keadaan ikan pari tersebut dengan memastikan isi kelihatan pejal, merah dan segar. Sebaliknya, elakkan daripada membeli ikan pari yang sudah lembik dan pucat atau warnanya sudah gelap kehitaman. Sebagaimana dinyatakan pada awal perkongsian mengenai bau, hidu ikan pari tersebut dan pastikan baunya segar dan tidak hancing. "Pilihlah pari yang segar untuk mengelakkan masakan rosak akibat bau hancing. "Bau hancing tidak akan hilang walaupun dicuci dengan 1001 petua," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube