suria

Murahnya kerja kahwin... 10 pasangan selamat disatukan dalam majlis nikah beramai-ramai, bayar RM2,500 je!

10 pasangan pengantin diraikan dalam Program Perkahwinan Perdana 4.0.

UMPAMA peribahasa 'naik basuh kaki saja'.

Begitulah yang diilalui 10 pasangan pengantin yang terlibat dalam Program Perkahwinan Perdana 4.0 anjuran Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi di Selangor pada 9 Disember lalu.

Mana tidaknya, dengan bayaran serendah RM2,500, mereka hanya perlu menghadirkan diri pada majlis tersebut selepas memastikan setiap dokumen yang diperlukan dihantar kepada pihak pengurusan.

Malah, setiap pasangan tidak perlu runsing dengan persiapan majlis kerana pakej yang disediakan itu termasuk khemah, katering, makan beradab, jurugambar serta doorgift kepada tetamu.

Pasangan pengantin juga boleh menjemput 100 orang tetamu untuk hadir ke majlis berkenaan.

Mengulas mengenai penganjuran tersebut, Nazir Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, Mohd Safian Abdul Rahmin berkata, program berkenaan dilaksanakan di bawah biro kebajikan.

Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia turut membuat persembahan.

Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia turut membuat persembahan.

"Bagi tahun ini, seramai 10 pasangan diraikan yang mana mereka terdiri daripada asnaf berpendapatan RM3,000 ke bawah.

"Mereka hanya perlu mengisi borang dan memberikan salinan slip gaji terkini kedua-dua pihak supaya pihak penganjur dapat memastikan kelayakan yang ditetapkan," ujarnya kepada mStar.

Tambahnya, idea tersebut tercetus pada 2019 selepas pihak pengurusan masjid yang berusia 23 tahun itu, sebulat suara ingin mengubah paradigma masyarakat tentang fungsi tempat ibadah tersebut.

"Dengan program seumpama ini, masyarakat akan nampak tujuan kewujudan masjid," jelasnya.

Malah katanya, kebanyakan kos perbelanjaan untuk majlis adalah daripada tabung masjid sendiri selain sumbangan daripada beberapa pihak termasuk Bank Muamalat.

Memperincikan aktiviti pada majlis itu, ketua biro kebajikan masjid, Mohd Johaary Abdul Hamid berkata, seramai enam jurunikah hadir untuk melakukan akad pada pasangan terlibat.

Barisan penganjur dan peserta bergambar kenangan selepas majlis

Barisan penganjur dan peserta bergambar kenangan selepas majlis

Ujarnya, kelainan pada tahun ini ialah penyertaan pancaragam daripada pasukan tentera di samping demonstrasi peserta silat yang menjalani latihan di masjid.

Lebih menarik apabila majlis dimeriahkan dengan alunan qasidah kumpulan tahfiz serta berzanji daripada bilal dan imam masjid.

Pasangan juga akan diarak dari lokasi pernikahan sehingga ke pentas persandingan.

Bukan itu sahaja, lima pasangan yang bertuah akan menerima pakej bulan madu selama dua hari satu malam daripada Hotel Taneera.

Bagi pasangan pengantin terlibat, Majlis Perkahwinan Perdana 4.0 yang dianjurkan Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi sangat memudahkan serta membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Farid antara 10 pasangan yang menyertai Program Perkahwinan Perdana 4.0.

Farid antara 10 pasangan yang menyertai Program Perkahwinan Perdana 4.0.

1. Mohd Farid Suid

Tentera, 28 tahun

"Program ini bukan sahaja sangat baik malah memudahkan setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

"Pakej dengan bayaran RM2,500 juga berbaloi kerana kami mendapat pelbagai keistimewaan termasuk hadiah cabutan bertuah yang sangat bernilai," katanya.

Muhammad Farihin dan pasangannya Nur Aisyah Lydia Sadang gembira menyertai program ini.

Muhammad Farihin dan pasangannya Nur Aisyah Lydia Sadang gembira menyertai program ini.

2. Muhammad Farihin Abdul Ghani

Penyelia syarikat, 24 tahun

"Bagi saya yang bernikah dengan mualaf dan perlu berwalikan raja, urusan berkaitan telah dipermudahkan.

Bukan itu sahaja, kami juga tidak perlu fikir tentang majlis, katering mahupun goodies untuk tetamu kerana semua disediakan oleh panganjur... hanya penuhkan senarai dokumen yang diperlukan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain