suria

Kucing terlentok manja, jejak kasih lepas 3 bulan tak jumpa... Begini rupanya cara si bulus ingat tuannya

Kucing milik @adirafarina melentok manja selepas tidak bertemu dengannya selama tiga bulan. -Gambar TikTok

MUNGKIN ramai yang beranggapan haiwan tidak mempunyai perasaan atau emosi seperti mana manusia.

Namun sebenarnya, binatang khususnya haiwan peliharaan juga mempunyai perasaan walaupun tidak dikurniakan akal fikiran.

Dalam satu perkongsian video yang viral di TikTok baru-baru ini, ramai tersentuh melihat bagaimana seekor kucing melentokkan kepala di bahu tuannya, seolah-olah melepaskan rindu selepas lama tidak berjumpa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah terfikir bagaimana kucing tahu jalan balik rumah? Peta mental adalah jawabnya

Menurut pemilik video berkenaan, @adirafarina, dia tidak bertemu dengan kucing peliharaannya yang bernama Oreo selama tiga bulan kerana berpindah.

Dalam tempoh itu haiwan tersebut diletakkan di bawah jagaan individu yang dikenalinya.

Apabila berkunjung ke rumah sewa lamanya semula untuk bertemu Oreo, dia tidak menyangka haiwan berkenaan masih menunjukkan reaksi manja dan mengenalinya meskipun lama tidak bersua.

Sebagaimana kajian yang dilakukan oleh University of Tokyo, Jepun, hasilnya menunjukkan bahawa kucing mampu mengenali tuannya biarpun tanpa menggunakan penglihatan.

kucing 2

Si bulus dapat mengecam tuannya melalui aktiviti yang sering dilakukan. -Gambar hiasan

Jadi bagaimana si bulus mampu mengecam atau mengenali pemiliknya?

1) Suara

Kucing dikatakan mampu membezakan suara pemiliknya daripada suara orang asing.

Dalam kajian yang dibuat oleh Universiti Kyoto ke atas berpuluh-puluh ekor kucing, penyelidik meletakkan seekor kucing domestik dalam sebuah bilik yang mempunyai pembesar suara bluetooth dan juga meletakkan pembesar suara lain di luar bilik.

Penyelidik kemudian memainkan beberapa kombinasi ujian bunyi dan lokasi termasuk suara pemilik, bagi menguji kebolehan sosio-ruang kucing terlibat.

Mereka juga memainkan bunyi rakaman melalui pembesar suara dalam bilik sebelum memainkan bunyi sama yang terdapat di luar.

Hasilnya, kucing tersebut terkejut apabila mendengar suara pemilik mereka dari luar bilik beberapa saat mendengar dari dalam bilik, seolah-olah pemilik mereka baru melakukan teleportasi.

Kucing yang dikaji itu tidak bertindak balas dengan cara sama apabila bunyi lain dimainkan melalui pembesar suara.

kucing 3

Meskipun tidak mempunyai akal, si bulus mempunyai emosi seperti manusia. -Gambar hiasan

2) Deria bau

Selain bunyi, kucing juga mempunyai deria bau yang tajam, walaupun tidak sehebat anjing, tetapi jauh lebih baik daripada manusia.

Seperti anjing, kucing menggunakan deria bau mereka untuk mengumpulkan maklumat, termasuk maklumat tentang manusia.

Kucing mungkin mengenali bau pemiliknya dan itu boleh membuatkan mereka berasa selesa.

3) Rutin

Selain itu, kucing sangat mahir dalam mengecam rutin orang di sekelilingnya. Kucing peliharaan khususnya sangat mengetahui siapa yang memberi mereka makan dan waktu mereka diberi makanan.

Keupayaan ini mungkin menjadi faktor kucing menganggap anda sebagai pemiliknya selain daripada bau dan bunyi.

Perkara yang paling unik ialah kucing mengingati orang yang mereka kenali, walaupun selepas bertahun-tahun, termasuk pemiliknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain