PELABURAN merupakan salah satu langkah untuk seseorang itu mengembangkan saiz tabungan simpanan. Namun tidak dinafikan, ada dalam kalangan kita yang tidak mempunyai sebarang ilmu mengenai pelaburan dan terus terburu-buru membuat keputusan kerana terpengaruh dengan orang sekeliling. Demikian kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita, Shikin Hassan, yang meluahkan penyesalan kerana melabur dalam unit amanah menggunakan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa ilmu dan pengetahuan asas pelaburan. Menerusi perkongsian di Facebook, wanita berkenaan berkata, dia mula melabur di unit amanah sejak 2010 menerusi seorang ejen dengan jumlah pelaburan asal sebanyak RM77,000. Bagaimanapun, pulangan yang diperoleh sepanjang 13 tahun melabur di dalam unit amanah cuma RM13,000 sahaja. Pelaburan saham mempunyai untung dan rugi yang perlu ditanggung oleh si pelabur. -Gambar hiasan "Dulu saya nak berhenti (melabur), tapi dipujuk supaya jangan. Nanti dia akan pastikan pelaburan saya bagi untung banyak. 'Jangan risau kak, saya uruskan semua. Akak tau untung saja'. "Ejen kata kena ada ilmu pasal pelaburan, kena pandai monitor, pantau sendiri, kena tahu switch fund, cari fund yang bagi profit banyak bla bla bla. "Aik masa nak ajak melabur tu bukan main cakap akan uruskan semua," luahnya lagi sambil menambah, dia sudah beberapa kali menghubungi ejennya namun tidak mendapat respons. Disebabkan itu, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menebus semula (redeem) unit amanahnya untuk dimasukkan kembali ke dalam KWSP. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai keliru apakah bentuk pelaburan terbaik, pakar beri tip dan nasihat ARTIKEL BERKAITAN: Jangan melabur kerana ikut orang... Ini 9 pantang larang sebelum main saham, salah langkah boleh merana! "Bayangkan kalau duduk diam-diam dalam KWSP tu, berapa banyak aku untung dalam masa 13 tahun tu? "Penyudahnya, tanpa ragu-ragu dan berlengah lagi, awal bulan baru ni aku pergi ofis bank yang terdekat. "Tak perlu bawa dokumen apa-apa, bawa kad pengenalan je. Pergi dekat kaunter (bank), cakap nak redeem unit trust dan masukkan balik ke KWSP. "Kaunter tu dah tahu. Proses tak sampai 10 minit pun. Duit akan dimasukkan balik ke akaun 1 dalam tempoh 10 hari. Sekarang duit aku tu dah kembali semula ke akaun 1 aku. Lega," luahnya. Situasi yang dilalui oleh wanita berkenaan turut mendapat perhatian pakar kewangan dan hartanah merangkap motivator, Dr Azizul Azli Ahmad Beliau yang banyak berkongsi tip kewangan di Facebook turut menyenaraikan perbandingan antara pulangan di KWSP dan unit amanah, untuk panduan bersama. Ramai terpengaruh sehingga mengeluarkan duit KWSP untuk melabur. -Gambar hiasan Berikut adalah perkongsian beliau: 1. Setakat hari ini belum ada lagi rekod KWSP tak beri sebarang dividen untuk pendepositnya. 2. Akta KWSP 1991, Seksyen 27 memberikan kadar jaminan minimum 2.5 peratus setahun atas simpanan ahlinya. Paling buruk prestasi tahun itu akan tetap dapat 2.5 peratus. 3. Kadar ini hanya berlaku pada tahun 1952 hingga 1959 iaitu 2.5 peratus. 4. Tahun 1980 hingga 1994 semua kadar dividen adalah 8.0 peratus ke atas. 5. Pulangan keuntungan KWSP bagi 5 tahun adalah sekitar 21 peratus. 6. Bagi pulangan keuntungan KWSP untuk 10 tahun sekitar 65 peratus. 7. Pulangan bagi 20 tahun sekitar 193 peratus sahaja! 8. Bila kita guna duit KWSP untuk masukkan dalam Unit Amanah lain, kita sedang merisikokan keuntungan 65 peratus yang sepatutnya diperolehi untuk hilang. 9. Lebih malang, duit hilang bersama-sama ejen yang lepas dapat komisyen, hilang entah ke mana. "Selamat berjuang, kembalikan duit persaraan ke dalam Dana KWSP... 87 peratus yang keluarkan dari KWSP, mendapat keuntungan lebih rendah dari apa yang KWSP bagi," demikian perkongsian beliau. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube