suria

BK 160 Gabriel jadi tanda tanya, ini 12 fakta pesawat ringan terhempas di Klang

(kiri) Pesawat ringan model BK 160 Gabriel dilihat bersepai di udara.

SEBUAH pesawat ringan dilaporkan terhempas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar, Klang, Selangor pada petang Selasa.

Memetik kenyataan rasmi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kapal terbang tersebut adalah pesawat ringan model BK 160 Gabriel.

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Pihak berkuasa berkata dua mangsa di dalam pesawat ringan terbabit yang terkorban merupakan juruterbang.

Sementara itu, hasil semakan awal mendapati pesawat ringan tersebut dihasilkan oleh syarikat pengeluar kapal terbang, Blackshape yang berpangkalan di Itali.

Pelancaran rasmi pesawat ringan model BK 160 Gabriel. Kredit foto: BLACKSHAPE S.P.A

Berikut disertakan fakta mengenai pesawat ringan BK 160 Gabriel yang diperoleh melalui carian internet (Airforce Technology)

1) Pesawat Blakckshape model Gabriel direka bentuk khusus untuk latihan juruterbang dalam bidang sivil dan ketenteraan.

2) Menurut CAAM, pesawat BK 160 Gabriel yang terhempas di Kapar dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club yang menyediakan latihan penerbangan kepada pelajar di rantau Asia Tenggara.

3) Dikuasakan oleh enjin turbo-prob, sayap dengan ukuran lebar sembilan meter, bebanan maksimum yang boleh dibawa adalah 850 kilogram dan mampu mencecah kelajuan maksimum 164 kilometer per jam (km/j) pada altitud 15,000 kaki.

4) Pesawat ringan BK 160 Gabriel berketinggian 2.45 meter dengan kepanjangan keseluruhan badan pesawat adalah 7.45 meter.

5) Pesawat BK 160 Gabriel secara rasminya dilancarkan pada April 2017 ketika pameran perdagangan AERO Friedrichshafen di Jerman.

6) Bahan gentian karbon (carbon fibre) digunakan secara menyeluruh untuk pembuatannya bagi memastikan keringanan badan pesawat ketika berlepas selain berketahanan tinggi.

7) Dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang kompleks seperti pendawaian gred tentera, sistem elektrik yang diperakui, sensor suhu, sensor kapasiti bahan api dan tangki bahan api anti-letupan.

8) Mempunyai lima tempat duduk yang setiap satunya dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan gred lima bintang.

9) Dilengkapi dengan payung terjun balistik untuk memastikan pendaratan yang selamat kepada juruterbang sekiranya berlaku kecemasan.

10) Kadar pendakian maksimum ialah 1,550 kaki per minit (fpm) manakala ketahanan maksimum ialah selama 192 minit.

11) BK 160 Gabriel memerlukan jarak berlepas 250 meter dan jarak mendarat 190 meter.

12) Blackshape pada tahun 2020 dilaporkan mempunyai rancangan untuk menghasilkan BK 160 Gabriel secara meluas di negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Myanmar dan Malaysia menerusi kerjasama dengan pengeluar pesawat tempatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain