KUCING peliharaan boleh dianggap sebagai ahli keluarga kerana disayangi dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Namun, haiwan ini juga mudah hilang dan sukar dijejak sehingga membuatkan tuannya menjadi resah. Kini pemilik kucing tidak perlu lagi risau kerana melalui perkongsian Arif Haiqal di laman X, didedahkan beberapa tip untuk mencari si bulus yang hilang atau melarikan diri. Salah satu teknik tersebut dikatakan menjadi amalan masyarakat Jepun serta menunjukkan keberkesanan yang tinggi. 1) Cara orang Jepun Menurut rakyat Jepun, cara efektif untuk memanggil si bulus kesayangan anda pulang ke rumah adalah dengan meminta pertolongan kucing lain di kawasan sekitar rumah anda. Ya betul, bersembang dengan kucing liar tersebut! Boleh cakap begini: "Awak, nak minta tolong sikit boleh, kucing saya nama dia Tompok hilang semalam, bantu saya cari dia okay? "Kalau jumpa dia, suruh dia balik cepat please, saya risau ni." Sambil merayu, anda boleh juga membelai kucing berkenaan. Rata-rata yang mencuba teknik ini termasuk Arif mengakui ia membuahkan hasil. Kucing peliharaan mereka akan pulang ke rumah dalam beberapa hari berikutnya, seolah-olah menerima mesej yang disampaikan. Tidak kurang juga mereka yang membuat rumusan bahawa kucing sebenarnya boleh memahami bahasa percakapan manusia. "Saya pernah cakap dekat kucing saya, minta tolong dia bunuh cicak dekat rumah ni sebab dah banyak sangat. "Esok pagi saya bangun, terus nampak beberapa ekor cicak dah mati kena serang dengan kucing saya tu. Sejak hari tu, saya yakin kucing boleh faham apa kita cakap," ujar seorang netizen. Kucing liar merupakan harapan terbesar anda untuk mencari si bulus yang hilang. -Gambar hiasan 2) Bawa makanan kegemaran Boleh cuba bawa makanan kegemaran si bulus untuk mengumpannya keluar dari tempat persembunyian. Alternatif lain, anda boleh bawa mainan kesukaan si bulus agar dapat membantu menghilangkan rasa takutnya. 3) Panggil nama si bulus dengan suara lembut Kucing juga mempunyai emosi seperti manusia, pada hari tertentu mereka boleh merajuk dan sengaja melarikan diri sebentar. Jadi anda sebagai tuan yang memahami, boleh cuba memanggil si bulus dengan suara manja untuk melembutkan semula hatinya. 4) Cari di pusat perlindungan haiwan Jika kucing anda masih belum ditemui selepas berhari-hari, cuba cari di tempat perlindungan haiwan berhampiran rumah anda. Boleh jadi kucing anda dianggap kucing liar dan sudah ditangkap untuk dihantar ke shelter. Selamat mencuba dan semoga bermanfaat! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube