ANTARA mimpi ngeri ketika berada di dapur adalah tugasan membasuh bekas plastik makanan yang berminyak. Mana tidaknya, bekas tersebut perlu dibilas, direndam dan disental berkali-kali supaya minyak dapat ditanggalkan sepenuhnya. Namun menerusi perkongsian Ajez di laman TikTok, kita boleh menarik nafas lega kerana sebenarnya ada petua mudah untuk membersihkan minyak daripada bekas plastik tanpa memerlukan kudrat yang banyak. Ayuh kita lihat bagaimana caranya. Bahan-bahan yang diperlukan: 1) Tisu dapur 2) Sabun pencuci pinggan jenis cecair Tip yang dikongsikan Ajez. Langkah-langkah: 1) Letakkan sabun pencuci pinggan jenis cecair secukupnya ke dalam bekas yang hendak dibasuh. 2) Masukkan air, disarankan jumlah air adalah satu pertiga daripada saiz bekas itu. 3) Kemudian masukkan sekeping tisu dapur ke dalam bekas yang sudah berisi air dan sabun pencuci pinggan. 4) Seterusnya tutup bekas dan goncangkan ia sekuat mungkin. 5) Akhirnya buang kesemua isi di dalam bekas itu. Kini bekas plastik anda akan menjadi berkilat kerana minyak terbabit sudah diserap tisu tersebut. 6) Bilas bekas dengan air bersih dan simpan di tempat terbuka untuk biarkan ia mengering. Mudah bukan? Tidak perlu lagi untuk anda 'bersilat' di dapur sekiranya terpaksa membasuh bekas plastik yang berminyak. Selamat mencuba dan semoga bermanfaat! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube