SEJAK kecil kita sering mendengar ungkapan 'membazir itu amalan syaitan'. Dalam al-Quran juga ada menyebut kalimah 'ikhwan syayathin' (saudara syaitan) apabila menyentuh bab ini. Berikut kami kongsikan lima tip untuk mengelakkan pembaziran di bulan Ramadan. 1. Rancang menu harian Apabila kita mengetahui menu yang ingin dimasak, kita dapat membuat anggaran dan menyenaraikan bahan-bahan yang diperlukan sahaja. Seterusnya bolehlah beli barang dapur ikut keperluan menu yang dirancang untuk seminggu. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan diri daripada membeli bahan yang tidak digunakan dalam masakan yang pada akhirnya akan dibuang. Pengunjung boleh rambang mata melihat pelbagai juadah di bazar Ramadan. -Gambar hiasan 2. Kurangkan membeli di bazar Ramai yang memilih untuk ke bazar kerana suasana yang tidak ada seperti bulan-bulan yang lain. Bukan ingin menyekat rezeki peniaga, tetapi jika ke sana dan kehendak diri tidak boleh dikawal, maka kurangkanlah pergi ke bazar. Jika teringin untuk merasai makanan di bazar, pergilah ketika hampir waktu berbuka supaya kita tidak berada lama di situ, sekali gus dapat mengelakkan pembelian makanan tidak sepatutnya. 3. Tahu juadah yang ingin dibeli Apabila kita tahu apa yang mahu dibeli, kita akan fokus untuk mencari juadah tersebut sahaja. Kita dapat elakkan diri daripada menyinggah gerai-gerai yang lain. Pembaziran makanan merupakan amalan yang ditegah dalam Islam. -Gambar hiasan 4. Jadikan lebihan lauk berbuka untuk bersahur Jangan biasakan diri dengan amalan membuang makanan. Ada sesetengah makanan yang masih boleh dipanaskan semula ketika sahur. Dengan ini, kita tidak perlu tergopoh-gopoh untuk memasak ketika sahur sekali gus dapat mengelakkan daripada pembaziran makanan dan waktu. 5. Berbuka di masjid Sekali-sekala sertailah majlis berbuka puasa di masjid atau surau. Hampir semua masjid menyediakan makanan berbuka puasa. Selain itu, kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama ahli kampung atau masyarakat setempat. - Perkim. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube