KISAH seorang lelaki yang mempunyai wang RM1 juta dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya hangat menjadi perbualan netizen di media sosial. Menurut pemilik Facebook Nur Fadhli Bassar, kisah benar itu melibatkan rakannya sendiri yang bekerja dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di ibu negara. "Bismillah. Sesungguhnya ada simpanan RM1 juta dalam KWSP untuk orang biasa itu benar. Tengok ni, penyata milik seorang ketua keluarga dalam circle aku, umur 45, kerja bidang IT di KL. "Dia pergi balik kerja naik motor saja kerana tak nak sangkut dalam kesesakan trafik. Tamat belajar umur 23 terus kerja dan macam orang lain juga ada keluarkan duit dari Akaun 2 untuk beli rumah," kongsinya. Caruman KWSP memberi banyak manfaat kepada pekerja. -Gambar hiasan Menurut Nur Fadhli, rakannya juga pernah berkongsi beberapa tip yang boleh dilakukan untuk membuat simpanan menerusi akaun KWSP. "Macam mana dia boleh kumpul RM1 juta dalam KWSP? Daripada apa yang dia cerita, semua orang boleh buat. Pertama, mesti ada kerja yang stabil dan gaji yang cukup. Kedua, kena mencarum dalam KWSP la. Dia carum 11 peratus kemudian naikkan ke 12 peratus dan 13 peratus. "Majikan dia pun mencarum juga. Berapa peratus bahagian majikan dia bagi, aku tak tahu. Ketiga, dia tak sentuh duit KWSP jika tak perlu. Tengok masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu berapa ramai terkesan. Dia steady, maka aku beranggapan dia ada simpanan kecemasan yang cukup. "Keempat, dia tingkatkan caruman dengan cara tinggikan gaji dengan cara job hopping (boleh minta gaji lebih tinggi daripada majikan baharu). Dia dah tukar majikan lapan kali," kongsinya lagi. Mereka yang tidak mempunyai majikan juga boleh membuat caruman sendiri. -Gambar hiasan Tambah Nur Fahdli, rakannya itu juga tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai umat Islam dengan membayar zakar bagi mencari keberkatan dalam pendapatannya. "Kelima, dia bayar zakat (wajib dan untuk cari keberkatan). Bila berkat, Tuhan tambah lagi. Dan aku assume dia ada juga buat projek sedekah jariah yang lain. "Apa tujuan aku tulis ni? Untuk beritahu yang menyimpan secara berterusan dan berdisiplin pun boleh jadi jutawan," ujarnya lagi. Nur Fadhli turut menjangka rakannya itu akan mempunyai simpanan mencecah RM2 juta sekiranya dia konsisten melakukan langkah-langkah di atas sehingga tamat perkhidmatan pada umur 60 tahun. "Ini baru umur 45, kalau dia pencen umur 60, boleh cecah lebih RM2 juta dalam KWSP dia, ada harapan merasa pencen 10,000 sebulan dan duit pokok RM2 juta tu tak luak langsung. "Jutawan senyap macam ni ramai tapi mereka humble dan low profile. Kita ambil semangat mereka. Kalau belum mula lagi, malam ni pasang niat dan mimpi dulu, esok jalankan," tulisnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube