BUBUK atau lebih dikenali sebagai kutu beras merupakan 'musuh' bagi suri rumah. Walaupun pada mulanya hanya ada seekor dalam bekas beras, namun kutu ini akan membiak dengan pantas. Sudah pasti situasi ini menimbulkan masalah kerana beras yang diserang bubuk membuatkan nasi menjadi kurang enak, lembik dan mudah basi. Tetapi jika mahu dibuang terasa rugi pula lebih-lebih lagi sekiranya kuantiti beras tersebut masih banyak dan plastiknya baru sahaja dibuka. Namun, ada satu petua boleh dicuba bagi mengatasi masalah ini yang dikongsikan oleh Ae Jaa menerusi laman Facebook miliknya. Menurut wanita itu, bekas beras di dalam rumahnya sudah lama tidak 'dikunjungi' oleh bubuk walaupun sudah dibiarkan selama satu bulan. Penyerap oksigen boleh digunakan untuk mengelakkan beras dipenuhi kutu. Menurut Ae Jaa, dia meletakkan tiga keping oxygen absober (penyerap oksigen) di dalam bekas beras yang kedap udara. Malah katanya, dia masih menggunakan penyerap oksigen yang sama sejak tiga bulan lalu kerana tiada seekor bubuk dilihat di dalam bekas berasnya. Ternyata kaedah ini menjadi dan menjimatkan kerana oxygen absober boleh didapati dengan RM5 sahaja bagi 100 keping. Jika diteliti di ruangan komen, seorang pengguna di Facebook memberi cadangan supaya Ae Jaa menggunakan cili kering dan kayu manis untuk menghalau bubuk. Namun, menurut wanita itu, kaedah tersebut tidak menjadi menyebabkan dia bertukar kepada oxygen absober sejak satu tahun yang lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube