suria

Perlu ke ada rumah besar menjelang persaraan? Bakal jadi beban kepada anak selepas meninggal

Rumah dengan ruang lebih kecil menjadi pilihan individu zaman sekarang.

SETIAP individu yang bekerja pasti pernah membayangkan tentang hari persaraan di mana mereka akan menikmati sisa kehidupan dengan tenang dan aman.

Oleh itu memiliki kediaman sendiri yang selesa menjadi antara persediaan yang dilakukan semasa kita sedang bekerja.

Tidak dinafikan ramai antara kita yang mengimpikan untuk membeli rumah besar yang cukup luas demi keselesaan apabila bergelar pesara.

Namun pendapat berbeza disuarakan seorang bekas jurulatih penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Ezairol Rezan Zainol agar kita tidak terlalu mengikut hawa nafsu dengan membina atau membeli rumah yang terlalu besar.

Generasi kini lebih memilih rumah berkonsepkan minimalis.

"Ingat, kita ni sudah tua. Bina rumah besar-besar nanti siapa pula yang nak mengemas? Orang kita biasa lepas pencen suka renovate (ubah suai) rumah besar bagai mahligai.

"Tapi akhirnya yang tinggal dekat rumah tu nanti cuma suami dan isteri saja sebab anak-anak semua sudah ada rumah mereka sendiri.

"Rumah pencen ni kita nak tenang-tenang je. Tak perlu terlalu besar dan tak juga terlalu kecil. Kalau ada tiga bilik dan dua bilik air sudah memadai," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Pesanan itu dibuat susulan banyak perkongsian di media sosial tentang 'nasib' rumah pusaka berskala besar yang ditinggalkan kepada anak-anak selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.

Ia akan menjadi beban kepada waris untuk menguruskan rumah yang terlalu besar lebih-lebih lagi jika ia berada diluar kemampuan mereka.

"Ingat... benda baik untuk kita belum tentu baik pada anak-anak. Banyak contoh sudah terjadi. Anak-anak terpaksa letgo (jual) rumah kesayangan kita sebab mereka sudah ada rumah sendiri.

Mohd Ezairol Rezan.

"Apabila kita 'pergi', anak-anak tak nak duduk rumah besar kita tu lagi sebabnya mungkin kerana sunyi dan sudah terbiasa dengan kehidupan di bandar. Susah nak sync life dengan kejiranan sekitar pun mungkin boleh jadi sebab.

"Lagi simple hidup kita lagi baik sebenarnya. Amalkan gaya hidup minimalist apabila sudah tua supaya senang untuk kita nak mengemaskannya nanti," ujarnya lagi.

Hantaran dibuat Ezairol ternyata menarik perhatian ramai yang rata-ratanya bersetuju dengan pendapat yang dikongsikan.

Ramai warga maya berpendapat mereka memilih untuk meneruskan kehidupan dalam rumah yang berkonsepkan minimalist berbanding memiliki kediaman untuk kelihatan gah semata-mata.

"Rumah besar bertingkat-tingkat nanti bersawang belah atas tu. Nak panjat tangga lutut dah 'ketat'... meletup-letup pula. Biar rumah kecil berlaga buntut senang nak kemas.

"Betul tuan, makin tua makin rasa tiada keperluan untuk ubah suai rumah besar-besar dan beli barang hiasan dalaman yang mengambil masa dan tenaga banyak untuk dibersihkan selalu. Asal rumah bersih, perabot yang minimal dan teratur sudah memadai," komen beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain