PENDINGIN hawa yang tidak berfungsi secara tiba-tiba merupakan perkara paling merimaskan bagi semua pengguna kereta. Biasanya kerosakan pada pemampat kereta atau compressor merupakan perkara pertama yang terlintas di kepala apabila berada dalam situasi ini. Paling memeningkan kepala apabila memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk membaikinya. Namun jangan terburu-buru membuat keputusan kerana kerosakan alatan paling mahal dalam sistem aircond kereta ini selalunya berlaku selepas tujuh hingga 10 tahun kereta digunakan. Blower baharu yang digantikan pada pendingin hawa untuk kembali berfungsi. Seperti yang dikongsikan seorang mekanik di sebuah bengkel di Kayu Ara Pasong dekat Pontian, Johor ini, anda perlu lakukan semakan pada setiap bahagian alatan pendingin hawa terlebih dahulu. Dalam video yang meraih lebih 6.4 juta jumlah tontonan di TikTok, lelaki ini menunjukkan contoh menggunakan kereta Perodua Viva yang mengalami masalah pendingin hawa tidak berfungsi. Katanya, masalah tersebut bukan berpunca daripada kebocoran gas atau compressor tetapi kerosakan pada blower fan yang tidak berpusing. Blower ini berfungsi untuk menghembus atau meniup angin melalui cooling coil yang kemudiannya keluar mengikut corong aircond kereta. Video tersebut dikongsikan di TikTok. Antara tanda-tanda awal kerosakan alatan ini adalah angin pada pendingin hawa berhenti secara tiba-tiba kerana pusingan motor blower yang lemah dan berbau hangit seperti terbakar. Turut dikongsikan mekanik ini adalah cara mengenal pasti kerosakan tersebut sekiranya blower fan ini mati secara tiba-tiba. Caranya adalah dengan mengetuk bahagian bawah blower dan sekiranya kipas tersebut berfungsi semula, alatan berkenaan perlulah ditukar ganti. Ternyata kaedah diajarkan ini berhasil apabila pendingin hawa kereta Perodua Viva itu boleh berfungsi kembali selepas digantikan dengan blower fan yang baharu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube