MAKANAN yang disimpan sehingga sarat di dalam peti sejuk akan menyebabkan udara sejuk di dalamnya tidak dapat beredar dengan baik. Maka adalah sangat penting untuk kita menjaga kebersihan peti sejuk dengan kerap bagi mengelakkan kehadiran bau busuk atau kotoran sehingga menjadi kulat. Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang berkongsi keadaan peti sejuknya yang 'diserang' telur maggot (berengga). Apa yang menghairankan adalah bagaimana berengga tersebut boleh masuk di dalam peti sejuk sedangkan pintunya sudah ditutup rapat sebelum pulang ke kampung beraya. Susulan ciapannya di laman X menjadi tular, Naim Pest Control atau nama sebenarnya Khairul Naim Abu Bakar, 33 menjelaskan tentang punca terjadinya masalah itu. Keadaan peti sejuk selepas ditinggalkan untuk pulang beraya. Katanya yang terkenal dengan perkongsian ilmu mengenai makhluk perosak di media sosial, berengga tersebut terhasil daripada lalat yang bertelur pada getah peti sejuk. Puncanya adalah disebabkan bau yang terperangkap di dalam peti sejuk yang menarik perhatian serangga perosak untuk membiak. Dalam pada itu, Naim turut berkongsi kaedah yang boleh dilakukan bagi mencegah daripada masalah itu terus berlarutan pada masa akan datang. Sebagaimana dicadangkan, kita hanya perlu membilas menggunakan air garam ketika proses mencuci peti sejuk. Ini kerana sifat garam yang berfungsi sebagai natural dehydrator akan menyebabkan saki baki berengga pada peti sejuk akan mati Kemudian, laraskan suhu peti sejuk pada tahap paling tinggi dalam masa satu hari juga boleh membunuh maggot yang masih berada dalam peti sejuk. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube