suria

Sejuk mata memandang... Suri rumah kongsi ‘trick’ jaga dapur agar bersih dan kemas, tak perlu deco sarat setiap sudut

Dapur lama boleh kelihatan cantik dan kemas jika dijaga dengan baik.

MEMILIKI dapur yang bersih dan kemas merupakan impian setiap orang terutama sekali golongan suri rumah.

Namun memandangkan dapur merupakan antara ruang paling penting dan kerap digunakan di rumah, maka ia cenderung untuk kotor dan tidak teratur.

Bagaimanapun seorang wanita mendapat pujian netizen kerana sangat berdisiplin menjaga ruang dapur yang sudah berusia 14 tahun agar sentiasa kelihatan kemas dan bersih.

Susulan itu wanita berkenaan, Jenn Lee Goldfish mendedahkan cara penjagaan yang diamalkan selama ini dalam satu hantaran di Facebook.

Elakkan daripada meletakkan barangan yang banyak di atas kabinet dapur.

1. Barang di atas kabinet

Jangan simpan atau letak barang yang banyak di atas kabinet termasuklah gula, kicap, garam dan minyak masak kecuali alatan seperti sudu dan garfu.

2. Kain lap

Jangan biarkan kain lap bersepah atau diletakkan di sudut dapur selepas digunakan.

Keringkan kain lap yang sudah digunakan dengan menjemur di ampaian luar rumah.

3. Plastik kosong

Lipat plastik yang tidak digunakan dengan kemas sebelum dimasukkan ke dalam satu bekas.

Jadikan ia sebagai aktiviti keluarga dengan mengajar anak-anak melipat plastik tersebut.

Jangan biarkan kain lap bersepah di dapur selepas digunakan.

4. Lantai

Jadikan tabiat untuk terus mengelap dapur dan mengemop lantai selepas memasak.

5. Pinggan dan mangkuk

Cuci pinggan, mangkuk dan segala peralatan sebaik sahaja selesai digunakan.

6. Corak tikar getah

Pilih corak tikar getah atau alas meja yang lebih minimalist seperti corak marble supaya dapur kelihatan lebih selesa dan tidak sesak.

7. Langsir

Jangan gunakan langsir daripada warna yang terang sebaliknya pilih fabrik berwarna putih supaya dapur kelihatan lebih luas.

Menurut Jenn dia lebih selesa dengan keadaan dapur yang tidak dipenuhi banyak barang.

Tambah wanita itu lagi, dia percaya kebersihan dapur akan menjemput rezeki buat dia dan keluarga yang berasal dari Membakut, Sabah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain