suria

Nampaknya pengguna ‘front load’ lebih untung... Ini penjelasan tentang muatan sebenar dua jenis mesin basuh

Mesin basuh merupakan satu keperluan dalam kehidupan harian. -Gambar hiasan

SETIAP mesin basuh mempunyai sukatan muatan yang tersendiri.

Sekiranya melebihi muatan, ia boleh menjejaskan fungsi mesin basuh untuk mencuci pakaian sehingga bersih.

Namun menjadi kekeliruan masyarakat sekiranya muatan tersebut dikira berdasarkan berat pakaian semata-mata atau bercampur dengan air.

Ayuh kita ikuti penjelasan lanjut oleh juruteknik dikenali sebagai Abang Elektrik di laman TikTok.

Label memaparkan muatan suatu mesin basuh. -Gambar hiasan

Jenis mesin basuh

Dua jenis mesin basuh yang popular adalah muatan hadapan (front load) dan muatan atas (top load).

"Jika mesin basuh top load, muatan dikira berserta baju dengan air, manakala mesin basuh front load hanya baju sahaja dikira sebagai muatan.

"Sebab itu sekiranya dibandingkan kedua-dua kategori mesin basuh ini dalam kapasiti sama, front load boleh memuatkan lebih banyak baju pada satu masa," jelas Abang Elektrik.

Petua menetapkan muatan baju

Abang Elektrik seterusnya berkongsikan tip untuk menentukan muatan baju yang bersesuaian bagi kedua-dua mesin basuh supaya dapat memperoleh hasil basuhan memuaskan.

"Pertama kita kena faham bagaimana mesin basuh ni berfungsi, kalau front load ia menggunakan 100 peratus putaran drum untuk mencuci pakaian.

"Manakala top load pula menggunakan pulsator (motor) di tengah untuk membuat putaran air bagi membasuh pakaian. Sebenarnya tak perlu sampai guna penimbang untuk sukat berat baju sebelum basuh.

"Contohnya mesin basuh top load, saya sarankan muatan baju tidak melebihi tiga per empat daripada ruangan tong drum. Kena pastikan kuantiti air yang diisi mesin basuh boleh melebihi muatan baju.

Paras pakaian untuk mesin basuh muatan atas.

"Kalau diisi pakaian sampai penuh, susah pulsator nak buat putaran air sekali gus baju tidak dapat dicuci dengan bersih. Jadi pengguna top load, berpada-pada masukkan baju tu," terang Abang Elektrik.

Dalam pada itu, mesin baju muatan hadapan boleh diisi sehingga maksimum.

"Macam saya sebut tadi, mesin basuh front load ni menggunakan 100 peratus putaran drum, maksudnya tong drum tu sendiri yang dipusingkan ketika mencuci baju.

"Jadi tiada masalah kalau nak isi baju sampai penuh, pakaian tetap boleh dibersihkan dengan efisien," ujar Abang Elektrik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain