suria

Rancang beli rumah? Formula kewangan ini bantu tentukan harga kediaman sesuai bajet anda

Pembelian rumah memerlukan pengurusan kewangan yang teliti. -Gambar hiasan

UKUR baju di badan sendiri.

Ungkapan ini penting untuk mereka yang suka berbelanja termasuklah ketika membeli hartanah seperti rumah, yang mana seseorang itu sewajarnya melihat pada kemampuan dan bukannya mengikut hawa nafsu.

Melalui satu hantaran di laman X, seorang pedagang dalam talian dikenali sebagai Ammar Faris berkongsikan formula untuk menentukan sekiranya anda mampu membeli sesebuah rumah itu atau tidak.

Dalam formula yang dibincangkan tersebut, Ammar meletakkan contoh gaji seseorang itu sebagai RM5,000.

Ayuh kita lihat beberapa faktor yang menjadi tunjang utama dalam formula ini.

1) Hutang

Senaraikan kesemua hutang yang menjadi sebahagian daripada komitmen anda.

2) Kira perkadaran jumlah hutang dengan gaji

Katakanlah hutang anda berjumlah RM1,000. Maka bahagikan RM1,000 dengan RM5,000 dan kemudiannya darab 100 untuk dapatkan peratus.

Jadi dalam kes ini perkadarannya adalah 20 peratus, boleh mula buat pertimbangan daripada sini.

3) Pembelian rumah

Ammar meletakkan tiga senario iaitu A, B dan C.

Nasihat pakar kewangan boleh membantu anda memilih dengan tepat. -Gambar hiasan

Senario A

Dalam senario A, anda langsung tidak mempunyai hutang, maka anda boleh membeli rumah yang berharga lima kali ganda daripada gaji tahunan anda.

Kiraannya, RM5,000 (gaji bulanan) darab 12 (bulan) dan kemudian darab pula dengan lima (gandaan), jadinya RM300,000. Ini adalah harga rumah yang sesuai dengan bajet anda.

Jika termasuk 10 peratus deposit, ansuran bulanan untuk rumah anda sepatutnya dalam lingkungan RM1,300 hingga RM1,500.

Senario B

Seterusnya senario B, perkadaran hutang dengan gaji bulanan anda kurang daripada 20 peratus, maka anda boleh membeli rumah yang berharga empat kali ganda daripada gaji tahunan anda.

Kiraannya, RM5,000 (gaji bulanan) darab 12 (bulan) dan kemudian darab pula dengan empat (gandaan), jadinya RM240,000. Ini adalah harga rumah yang sesuai dengan bajet anda.

Jika termasuk 10 peratus deposit, ansuran bulanan untuk rumah anda sepatutnya dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,200.

Senario C

Akhir sekali senario C, perkadaran hutang dengan gaji bulanan anda lebih daripada 20 peratus, maka anda boleh membeli rumah yang berharga tiga kali ganda daripada gaji tahunan anda.

Kiraannya, RM5,000 (gaji bulanan) darab 12 (bulan) dan kemudian darab pula dengan tiga (gandaan), jadinya RM180,000. Ini adalah harga rumah yang sesuai dengan bajet anda.

Jika termasuk 10 peratus deposit, ansuran bulanan untuk rumah anda sepatutnya dalam lingkungan RM700 hingga RM900.

Peringatan kewangan

"Walaupun ejen kata berdasarkan kiraan 'lepas' untuk kita beli sesebuah rumah tu, tapi beringatlah. Nanti yang akan bayar bulanan selama bertahun-tahun adalah kita, bukan ejen tu.

"Jangan lupa untuk ambil kira komitmen lain seperti belanja anak, makanan dan pengangkutan. Gaji kita mungkin naik setiap tahun, tapi pastikan buat keputusan berdasarkan keadaan kewangan kita yang sekarang," ujar Ammar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain