suria

Anda boleh berlengah, tak perlu kerap servis aircond jika tukar setting remote setiap hari... Ini penjelasannya!

Penyaman udara yang dijaga dan diselenggara boleh bertahan lama. -Gambar hiasan

PENYAMAN udara di rumah perlu diselenggara secara berkala untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan tahan lama.

Kebiasaannya juruteknik akan dipanggil bagi membuat pemeriksaan menyeluruh sekiranya ia bermasalah, ataupun untuk tujuan servis.

Melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Syam Zone, ternyata anda juga boleh melakukan penyelenggaraan sendiri secara harian ke atas penyaman udara.

Anda hanya perlu mengubah beberapa ketetapan ini pada alat kawalan jauh, yang dikatakan dapat membantu memanjangkan jangka hayat alat penyejuk ini.

"Rupa-rupanya boleh servis sendiri aircond guna remote control. Setiap hari waktu bangun pagi sebelum tutup aircond, boleh buat dulu petua ini," ujar Syam Zone.

Ayuh kita lihat!

Penyaman udara penting untuk tidur malam yang lebih lena. -Gambar hiasan

Langkah-langkah:

1) Ambil alat kawalan jauh, tukar ketetapan penyaman udara daripada 'cool' kepada 'fan'

2) Tetapkan kelajuan kipas pada tahap paling tinggi

3) Biarkan ia berjalan selama 15 minit

4) Kini baru matikan penyaman udara

Sebab:

Menurut Syam Zone, ketetapan 'fan' tersebut adalah sebahagian daripada proses untuk membersihkan bahagian dalam penyaman udara.

"Apabila kita aktifkan setting 'fan' ni, kipas di dalam penyaman udara akan bertiup tanpa memasang pemampat (compressor). Maksudnya berjalan seperti normal tetapi hanya mengeluarkan angin biasa, tidak sejuk.

"Ia akan mengeringkan kelembapan di dalam unit aircond, sekali gus mengurangkan pengumpulan kotoran, kulat dan debu.

"Nanti sebelum tidur malam jangan lupa tukar balik setting daripada 'fan' kepada 'cool, kalau tak bilik memang susah nak sejuk sampai sudah," jelas Syam Zone.

Maklum balas netizen

"Saya dah cuba tip ini, ia boleh melambatkan penyaman udara daripada perlu diselenggara secara kerap, jimat duit.

"Tapi apabila sampai masanya dalam enam bulan sekali tetap perlu panggil orang untuk cuci betul-betul penyaman udara tu," demikian kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain