suria

Jangan ingat sama, tak semua kedai mamak ‘original’ Muslim... Cuba perhatikan 5 ciri ini

Restoran mamak menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia. -Gambar hiasan

AKTIVITI melepak di kedai mamak cukup sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain ruang yang luas sesuai untuk dijadikan lokasi 'perhimpunan', kedai mamak juga menjadi pilihan ramai kerana ia menyajikan pelbagai hidangan menarik untuk seisi keluarga.

Jadi kali ini kami kongsikan kepada anda cara untuk mengetahui sama ada kedai mamak yang dikunjungi benar-benar dimiliki oleh Muslim atau tidak.

Ia penting dalam memastikan makanan yang dimakan berstatus halal dan bersih khususnya bagi umat Islam.

Menurut Afyan Mat Rawi di Facebook, ada lima cara untuk mengenal pasti sama ada kedai mamak itu Muslim atau bukan.

1. Restoran Hindu tutup semasa perayaan Deepavali

Biasanya restoran yang dimiliki umat Islam akan ditutup semasa Hari Raya Aidilfitri, manakala kedai milik orang Cina tidak beroperasi pada Tahun Baru Cina.

Manakala bagi masyarakat Hindu, premis mereka akan ditutup dan tidak beroperasi semasa Deepavali.

Walaupun pemilik dan pekerja restoran tersebut memakai kopiah dan berpakaian seperti seorang Muslim, ini tidak semestinya menunjukkan mereka menganut agama Islam.

Menu makanan berasaskan lembu tidak dijual oleh peniaga Hindu.

2. Periksa makanan berasaskan daging lembu

Salah satu cara untuk mengenal pasti sama ada kedai mamak itu diuruskan Muslim atau tidak adalah dengan memeriksa hidangan daging lembu yang disediakan.

Kedai mamak yang dimiliki oleh Muslim biasanya menyajikan masakan daging lembu.

Sebaliknya restoran Hindu atau kedai mamak 'tiruan' mungkin tidak menyediakan hidangan daging lembu, kerana ia dianggap sebagai haiwan suci.

3. Memberi sapaan salam, Assalamualaikum

Biasakan diri anda memberi salam kepada pekerja atau pemilik restoran sebaik sahaja memasuki kedai.

Umumnya, umat Islam tidak akan mengabaikan sapaan tersebut.

4. Kedai tutup ketika waktu solat Jumaat

Kedai mamak yang dimiliki orang Islam biasanya akan tutup pada waktu solat Jumaat memandangkan semua pekerja biasanya terdiri daripada kaum Adam.

Malah, sesetengah restoran juga mungkin menyediakan ruang solat atau surau untuk pelanggan.

Kedai mamak biasanya menjadi tumpuan pelanggan di negara ini. -Gambar hiasan

5. Jangan terpengaruh dengan poster atau tulisan jawi

Kita sering kali terpengaruh dengan adanya tulisan jawi, ayat-ayat Al-Quran, gambar masjid, atau gambar Makkah di restoran atau kedai.

Walaupun elemen-elemen ini boleh memberi tanggapan bahawa restoran tersebut adalah milik Muslim, kadang-kadang ia hanya digunakan sebagai hiasan untuk menarik pelanggan Muslim.

Selain lima perkara yang dinyatakan di atas, terdapat kemungkinan lain bahawa walaupun pemilik restoran adalah seorang Muslim, pekerjanya mungkin bukan Islam.

Beberapa restoran mamak terkenal di negara kita mungkin berada dalam situasi seperti ini.

Penting untuk diingat bahawa isu ini bukanlah mengenai sama ada restoran Muslim menggunakan pekerja Muslim atau tidak.

Tetapi perkongsian ini adalah tentang mengenal pasti bagaimana ada kemungkinan orang Hindu menyamar sebagai Mamak Muslim yang boleh mengelirukan pelanggan Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain