suria

Sakit mata tengok baju penuh di balkoni! Tapi sebenarnya tak salah nak sidai, cuma jangan sampai menjulur keluar

Menjemur pakaian di balkoni merupakan amalan biasa yang sering dilihat di kediaman bertingkat. -Gambar hiasan

MENJEMUR pakaian di balkoni rumah adalah satu amalan yang sering dilakukan ramai orang khususnya yang tinggal di kawasan perumahan bertingkat.

Walau bagaimanapun amalan ini boleh menimbulkan beberapa isu antaranya masalah keselamatan, kesan buruk kepada suasana dan keselesaan serta nilai estetik.

Harus diingat, terdapat peraturan atau undang-undang yang melarang serta menghadkan aktiviti menjemur pakaian di balkoni seperti dikongsikan seorang perunding hartanah di platform X.

Jelas individu tersebut, Akta Strata 2013 tidak mengizinkan penduduk untuk menjemur baju di kawasan balkoni rumah yang berada di bawah hak milik strata.

Katanya, amalan tersebut akan menyebabkan keadaan bangunan kelihatan tidak kemas, seterusnya boleh mengurangkan nilai hartanah.

Sebagai makluman, hak milik strata merupakan satu bentuk pemilikan untuk bangunan atau blok berbilang tingkat atau berbilang lapisan petak tanah yang dibangunkan di atas sebidang tanah.

Contohnya seperti rumah flat, pangsapuri, apartmen, kondominium, townhouse dan rumah-rumah dalam skim berpagar dan berpengawal.

Masalah berkaitan kediaman sering berlaku di pembangunan jenis bertingkat. -Gambar hiasan

Menerusi Akta Pengurusan Strata 2013 dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015, ia diperkenalkan untuk mengurus dan menyelenggara bangunan strata serta harta bersama dengan baik.

Jadual Ketiga dalam Akta ini merangkumi peraturan tentang pengurusan, pemilik, harta bersama, kenderaan, pelupusan sisa, pengubahsuaian, dan kecacatan petak yang memberi kesan kepada sokongan dan perlindungan.

Namun, peraturan khusus mengenai jemuran di balkoni tidak dinyatakan dengan jelas dalam Jadual Ketiga.

Tetapi, Seksyen 15 Bahagian 3 (Pemilik) menyatakan bahawa jemuran tidak boleh digantung sehingga melunjur keluar dari petak rumah.

Walau bagaimanapun, amalan jemuran dibenarkan jika diletakkan di kawasan yang sesuai dan hanya untuk tempoh yang munasabah.

Ini bermakna menjemur pakaian di balkoni tidak dilarang sepenuhnya, tetapi ia tidak boleh diletakkan di atas railing atau pagar balkoni.

Logiknya, meletakkan jemuran di atas pagar balkoni boleh menyebabkan ia terkeluar dari kawasan rumah individu dan melanggar peraturan yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain