suria

Ramai cuma tahu memandu, tak sedar tayar kereta dah rosak! Check 5 perkara ini mampu elak kemalangan

Kemalangan melibatkan objek seperti serpihan tayar sering berlaku. -Gambar hiasan

KESELAMATAN pemandu dan penumpang adalah perkara paling penting dan perlu diutamakan dalam pemanduan.

Namun, ramai yang terlepas pandang mengenai risiko bahaya melibatkan tayar kereta yang telah rosak.

Kajian menunjukkan bahaya memandu kenderaan dengan tayar rosak adalah empat kali ganda lebih besar daripada memandu dalam keadaan mabuk.

Tayar rosak bukan sahaja mengurangkan cengkaman tetapi meningkatkan jarak berhenti serta risiko meletup atas jalan, terutamanya dalam cuaca tidak menentu.

Terdapat lima tip boleh dilakukan oleh pemilik kenderaan untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain melibatkan tayar yang digunakan.

Penyelenggaraan tayar penting untuk mengelakkan kemalangan.

1. Pemeriksaan berkala

Jadualkan pemeriksaan tayar anda secara berkala untuk memeriksa tanda-tanda haus, treadwear (kadar kehausan) dan memastikan tekanan angin yang betul.

2. Pengisian angin yang betul

Pastikan tayar anda diisi dengan tekanan yang disyorkan oleh pengeluar. Tayar yang kurang inflasi boleh menyebabkan pemanasan berlebihan dan risiko berlakunya letupan.

3. Pusingan tayar

Gilir tukar posisi tayar anda secara berkala untuk memastikan penghausan yang sekata dan memanjangkan jangka hayat tayar.

4. Gantikan tayar yang haus

Jangan tunggu sehingga tayar terlalu haus. Sebaliknya ganti tayar apabila kedalaman tread mencapai 1.6mm (milimeter) atau kurang.

5. Pilih jenama berkualiti

Melabur dalam membeli tayar daripada jenama terkenal dapat meningkatkan prestasi dan keselamatan kereta serta diri anda.

Elakkan daripada menggunakan tayar celup terutama pada kenderaan berat seperti lori, treler dan bas yang boleh memberi ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya.

Ingat, kes kemalangan di lebuh raya yang berpunca daripada pelanggaran objek seperti serpihan tayar banyak berlaku di jalan raya!

Sebenarnya, mengutamakan keselamatan tayar bukan lagi satu cadangan tetapi keperluan apabila melihat kadar kemalangan di negara ini.

Apabila anda peka serta melakukan penyelenggaraan tayar, anda dapat menyumbang kepada persekitaran pemanduan yang lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain