suria

Skuad Sarong BSN meriahkan KS24! Tampil dengan pakaian seragam sejak era 80-an

Acara dimeriahkan lagi dengan penganjuran BSN berkolaborasi dengan KS24.

BANK Simpanan Nasional (BSN) tidak melepaskan peluang untuk turut serta sebagai penganjur acara Keretapi Sarong 2024 (KS24) yang mengangkat tema 'Bangga Malaysia' tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan, Mujibburrahman Abd Rashid, acara ini merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 BSN dan Hari Malaysia.

"Alasan utama kami memilih untuk berkolaborasi tahun ini adalah mesej yang disampaikan oleh Keretapi Sarong yang mempromosikan perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui tema kebudayaan.

Mujibburrahman ketika ditemubual dalam acara KS24.

"Di BSN, kami juga komited untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang membudayakan dan menggerakkan tenaga dalam masyarakat untuk memajukan ekonomi.

"Kami ingin menyampaikan mesej yang seiring dengan objektif Keretapi Sarong, iaitu menggunakan budaya bersama masyarakat untuk menyokong pembangunan ekonomi negara," jelasnya ketika ditemui semasa acara tersebut pada Sabtu.

Mujibburrahman juga menambah bahawa beliau berpuas hati dengan pelaksanaan program, walaupun ini merupakan kali pertama BSN menyertai acara dengan slogan 'Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi'.

Sebagai rakan kolaborasi dalam KS24, BSN terlibat dalam program 'station take over' dan memeriahkan suasana di stesen LRT Gombak bersama orang ramai pada Sabtu.

Acara ini turut dihadiri oleh selebriti jemputan, Hael Husaini, serta diserikan dengan persembahan dari kumpulan buskers, pasukan kompang, dikir barat, silat, dan pelbagai aktiviti menarik termasuk kuiz dengan hadiah-hadiah eksklusif.

"Seawal pagi di stesen LRT Gombak, saya sudah melihat orang ramai yang ternanti-nanti untuk meraikan hari istimewa ini. Walaupun pada pandangan kasar, mereka nampak hanya mahu berseronok, sebenarnya mereka amat bersemangat untuk meraikan Hari Malaysia.

"Kami juga menyaksikan suasana riuh-rendah ketika lagu patriotik dinyanyikan di dalam LRT sepanjang perjalanan ke stesen KLCC. Selain itu, kami menyediakan permainan yang disertai ramai serta 'cabutan rezeki' dengan hadiah jam tangan jenama Apple untuk tiga pemenang bertuah," jelasnya.

Skuad Sarong BSN yang menyertai acara KS24 pada Sabtu.

Selepas aktiviti tamat, peserta yang menjadi Skuad Sarong BSN dihiburkan lagi dengan persembahan Hael Husaini ketika menaiki tren dari stesen LRT Gombak sebelum meneruskan perarakan ke destinasi terakhir di Kuala Lumpur.

Dalam acara ini, peserta kelihatan sangat teruja menaiki pengangkutan awam sambil mengenakan kain sarung batik atau pelikat, yang merupakan simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

BSN juga mengambil peluang untuk mempamerkan evolusi pakaian seragamnya dari tahun 1980-an hingga kini, menonjolkan sejarah dan warisan yang dibawa oleh BSN selama lima dekad.

Antara pakaian berkonsep sarong diperaga orang ramai.

"Sejak penubuhan kami, BSN telah sinonim dengan motif bunga raya dan batik dalam mempromosikan budaya. Kami terus berpegang kepada konsep ini dengan memanfaatkannya sebagai simbol keagungan.

"Kerjasama kami dengan penganjur acara ini adalah satu usaha untuk menyemarakkan budaya dan melibatkan generasi muda dalam aktiviti yang menghiburkan. Kami berharap mesej perpaduan ini akan dibawa pulang dan diterapkan selepas acara berakhir," katanya.

Untuk makluman, acara KS24 dianjurkan oleh LOCCO, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula mempromosikan aktiviti kebudayaan melalui Keretapi Sarong sejak tahun 2012.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain