suria

Asyik keluar masuk bengkel, tukar alat ganti kereta tetap overheat! Ketahui ‘silent killer’ dalam enjin kenderaan

Bahagian coolant radiator boleh menyebabkan kereta cepat rosak.

SISTEM penyejukan enjin kereta memainkan peranan penting dalam memastikan enjin beroperasi pada suhu yang sesuai.

Antara elemen utama dalam sistem ini adalah coolant radiator, yang biasanya terdiri daripada campuran air dan cecair penyejuk.

Namun, kebanyakan pemilik kenderaan mengabaikan penjagaan bahagian ini dengan hanya menambah air tanpa menukar alatan secara berkala.

Tabiat ini sebenarnya boleh menyebabkan pelbagai masalah mekanikal termasuk pembentukan karat yang berpotensi merosakkan komponen enjin.

Berikut adalah beberapa kesan utama dari pembentukan karat dalam sistem penyejukan yang merosakkan kereta:

1. Thermostat

Thermostat yang terjejas oleh karat boleh mengalami kegagalan fungsi, seperti menyekat aliran coolant (cecair penyejuk) dan menyebabkan overheat (terlebih panas).

Jika thermostat tidak berfungsi dengan baik, ia boleh mengakibatkan suhu enjin meningkat melebihi had yang selamat.

2. Pipe line (saluran paip)

Paip jenis besi dalam sistem penyejukan boleh mengalami kebocoran kecil disebabkan oleh karat.

Kebocoran ini boleh mengakibatkan penurunan tekanan sistem dan risiko overheat.

Kereta boleh mengalami overheat sekiranya tidak diselenggara dengan baik.

3. Laluan air dalam blok enjin

Karat yang terkumpul dalam saluran air akan menyebabkan penyempitan laluan, mengganggu aliran coolant dan mengakibatkan suhu enjin meningkat.

4. Waterpump (pam air)

Waterpump yang berkarat atau rosak memerlukan perhatian khusus.

Sebaiknya, alat ini diganti bersama dengan timing belt untuk mencegah masalah overheat yang berkaitan dengan kegagalan pam.

5. Getah hos

Tindak balas antara air karat dan getah hos boleh menyebabkan hos menjadi keras dan mudah pecah.

Pecahan hos boleh mengakibatkan kebocoran coolant dan seterusnya menyebabkan masalah terlebih panas.

6. Radiator

Karat pada radiator boleh merosakkan aliran air dan mengurangkan kecekapan penyejukan.

Jika aliran air tersekat, ia boleh mengakibatkan suhu enjin meningkat.

7. Radiator cap (penutup radiator)

Walaupun kecil, penutup boleh terjejas oleh karat menyebabkan risiko overheat.

Penjagaan yang betul terhadap coolant adalah penting untuk memastikan sistem penyejukan berfungsi dengan baik.

Antara langkah-langkah yang disarankan termasuk:

a. Penukaran coolant berkala

Coolant perlu ditukar setiap 40,000 hingga 50,000 kilometer atau setiap dua tahun, bergantung kepada penggunaan kereta.

Ini memastikan keberkesanan penyejukan dan mencegah pembentukan karat.

b. Penggunaan coolant yang betul

Jangan tambah air ke dalam tangki simpanan coolant. Tambah cecair yang sesuai untuk mengelakkan pengurangan kandungan coolant.

c. Pemeriksaan berkala

Lakukan pemeriksaan berkala pada sistem penyejukan, termasuk radiator, paip dan hos getah untuk memastikan tiada kerosakan atau kebocoran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain