suria

Penglihatan tiba-tiba dihalang objek ‘sesat’ ketika memandu... Jangan terus brek, ini cara elak kemalangan

Objek yang melayang dari kenderaan lain boleh menghalang penglihatan pemandu.

MEMANDU laju memerlukan seseorang itu fokus sepenuhnya dan mempunyai kemahiran untuk bertindak balas dengan pantas.

Sekiranya penglihatan anda tiba-tiba terhalang oleh objek besar yang 'sesat' di cermin kereta seperti kain atau kertas, ia boleh menjadi situasi yang amat mencemaskan dan berbahaya.

Kebanyakan pemandu akan bertindak dengan menekan pedal brek secara mengejut yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Berikut adalah enam langkah penting yang boleh diambil untuk menangani situasi kritikal dan mengurangkan risiko kemalangan.

Elak daripada brek secara mengejut dalam situasi panik.

1. Kekal tenang

Jika penglihatan anda terhalang oleh objek yang melayang dari atas jalan atau kenderaan lain, tetap tenang dan jangan panik.

Tarik nafas dalam-dalam dan fokus pada langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.

2. Kurangkan kelajuan

Perlahan-lahan kurangkan kelajuan kenderaan anda. Elakkan menekan brek secara mendadak yang boleh membuatkan kenderaan anda hilang kawalan.

3. Bergerak ke lorong selamat

Jika boleh, pandu kenderaan ke lorong yang selamat atau lorong kecemasan.

Pastikan anda melihat kamera pandangan belakang (rearview camera) dan sisi untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan lain terutama yang mengekori dari belakang.

Perhatikan kamera belakang dan sisi sebelum menukar laluan di atas jalan.

4. Gunakan isyarat amaran

Hidupkan lampu hazard untuk memberi isyarat kepada pemandu lain bahawa anda sedang menghadapi masalah pada kenderaan.

5. Cari tempat berhenti selamat

Cari tempat berhenti yang tidak mengganggu lalu lintas, seperti kawasan rehat atau tepi jalan lebih luas.

Pastikan anda berhenti di tempat yang selamat sebelum cuba menyelesaikan masalah.

6. Periksa dan betulkan

Setelah berhenti, periksa punca penglihatan terhalang seperti kabus, objek besar atau kotoran pada cermin.

Jika perlu, hubungi bantuan jalan raya.

Sentiasa patuhi peraturan keselamatan jalan raya ketika memandu dan pastikan kenderaan anda dalam keadaan baik dengan pemeriksaan berkala.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain