suria

Air tiba-tiba keruh, banyak daun dibawa arus... Ambil tahu petanda hujan di hulu sungai, risiko kepala air!

Kejadian kepala air boleh meragut nyawa.

BERSEMPENA cuti sekolah serta hujung minggu yang panjang, pasti ramai merancang untuk mengadakan aktiviti berkhemah di kawasan perairan seperti sungai dan air terjun.

Namun kejadian kepala air di Kolam Puteri di Tangkak, Johor hingga mengakibatkan 60 individu terkandas pada Ahad menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Untuk memastikan keselamatan anda dan keluarga, berikut adalah 10 peringatan dan panduan jika berkhemah atau berkelah di kawasan berhampiran sungai:

1. Sediakan peralatan keselamatan

Bawa tali, pelampung, jaket keselamatan, dan kit pertolongan cemas.

Alat-alat ini mungkin menyelamatkan nyawa jika berlaku kecemasan.

Sentiasa bersedia untuk menghubungi talian kecemasan 999 jika perlu.

2. Pakai wisel dan pakaian terang

Ini kerana wisel boleh menarik perhatian dalam keadaan kecemasan, sementara pakaian terang memudahkan pencarian jika hilang.

3. Dapatkan informasi daripada orang tempatan

Sebaik sahaja tiba, berbincang dengan penduduk tempatan atau penjaga kawasan.

Tentunya mereka lebih mengetahui bahagian sungai berbahaya atau kejadian kepala air yang pernah berlaku.

Kejadian kepala air yang berlaku di Kolam Puteri melibatkan 60 orang awam terkandas.

4. Jangan pasang khemah terlalu dekat dengan sungai

Walaupun kedudukan khemah di gigi air mungkin terasa tenang, elakkan memasang khemah terlalu dekat dengan sungai.

Paras air boleh naik secara mendadak, terutamanya jika hujan.

5. Periksa tanda-tanda air naik

Sebelum mandi, perhatikan tebing sungai untuk kesan daun atau ranting yang tersangkut tinggi.

Ini boleh menjadi tanda bahawa paras air akan naik mendadak.

6. Periksa kedalaman dan dasar sungai

Jangan terjun tanpa memeriksa kedalaman air dan dasar sungai.

Periksa jika terdapat batu tajam, licin atau lumut yang boleh menyebabkan tergelincir.

Gunakan kasut anti-licin jika perlu.

7. Kenal pasti laluan keluar

Sebelum masuk air, periksa sekeliling dan cari laluan mudah untuk naik ke kawasan darat yang selamat.

Pastikan keluarga tahu lokasi laluan ini.

8. Pilih kawasan terbuka

Jangan mandi bersendirian. Pilih kawasan yang lapang dan mudah dilihat dari pelbagai arah.

Pastikan anak-anak sentiasa berada dalam pengawasan dan elakkan kawasan yang banyak selekoh kerana arusnya sukar dijangka.

9. Menghadap aliran air

Semasa berada di dalam air, pastikan anda menghadap aliran air.

Ini memudahkan anda melihat objek terapung seperti kayu atau sampah yang boleh membahayakan.

10. Pantau perubahan cuaca

Sentiasa peka dengan keadaan cuaca.

Jika air tiba-tiba keruh atau banyak daun dan ranting dibawa arus, ini mungkin petanda hujan di hulu sungai.

Segera berpindah ke tempat yang lebih selamat jika perlu.

Peringatan ini dikongsikan oleh seorang doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang sering membuat hantaran berkenaan kesihatan, perubatan termasuklah keselamatan.

Dengan mengikuti langkah-langkah keselamatan ini, anda boleh menikmati pengalaman berkhemah di kawasan sungai dengan lebih tenang dan selamat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain