BAHAN memasak seperti bawang, cili, dan halia memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Namun sering kali kita menghadapi masalah untuk menyimpan bahan-bahan ini agar tahan lama dan segar. Menerusi muat naik seorang wanita dikenali sebagai Cik Dayang di Facebook, dia berkongsi cara penyimpanan bahan masakan itu yang dikatakan boleh bertahan sehingga tiga bulan. 1. Cara buat cili kisar Gunting cili kering kecil-kecil (lebih kurang 1 inci) dan buang bijinya. Rebus sehingga lembut dan tambah sedikit garam serta minyak untuk mempercepat proses lembut. Tapis dan bilas dengan air. Masukkan cili ke dalam pengisar bersama sedikit air dan kisar sehingga halus. Setelah siap, masukkan ke dalam bekas kering dengan sedikit asam keping dan simpan di dalam peti ais. Hiris kecil bawang yang ingin dikisar. 2. Cara sediakan bawang besar kisar Ambil satu kilogram bawang besar, hiris kecil-kecil supaya mudah dikisar. Kisar bawang bersama minyak dengan anggaran minyak separuh daripada jumlah bawang. Jika mahu, boleh gantikan minyak dengan sedikit air. Setelah siap dikisar, masukkan ke dalam bekas kering dan taburkan sesudu garam di atas permukaan bawang kisar sebelum simpan dalam peti sejuk. 3. Cara membuat bawang putih kisar Ambil setengah kilogram bawang putih dan kemudiannya dikupas, dicuci, dan dihiris kecil-kecil. Kisar bawang putih bersama air bertapis dengan anggaran air tidak lebih separuh dari jumlah bawang. Setelah siap dikisar, simpan dalam bekas kering. Kaedah penyimpanan dengan betul boleh membuatkan bahan masakan tahan lebih lama. 4. Cara membuat halia kisar Ambil setengah kilogram halia. Buang kulit, cuci dan kemudiannya dipotong kecil-kecil. Potongan bersaiz kecil adalah penting supaya halia mudah dikisar. Peringatan bahawa halia mempunyai banyak air, jadi jangan letak air terlalu banyak. Setelah siap, simpan dalam bekas kering. Selain itu, Cik Dayang juga memberikan tip penting tentang cara menggunakan bahan kisar agar tidak cepat rosak. 1. Gunakan sudu yang kering dan bersih setiap kali ambil bahan. Jangan campur penggunaan sudu untuk elakkan pencemaran. 2. Gunakan sudu berasingan untuk setiap jenis bahan. Dengan mengikuti tip ini, stok bahan masakan anda akan kekal segar dan tahan lebih lama. Selamat memasak! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube