suria

Kereta remuk teruk, banyak tow truck muncul! Ini 5 perkara penting anda perlu tahu lepas kemalangan, jangan sembarangan ‘sign’ dokumen

Mana-mana kereta mengalami total loss perlu mendapatkan khidmat tow truck untuk dibawa ke bengkel. -Gambar hiasan

KEMALANGAN jalan raya boleh menjadi pengalaman yang sangat mengejutkan dan dahsyat, terutamanya apabila kereta anda mengalami kerosakan teruk atau total loss.

Ketika berdepan situasi seperti ini, bersikap tenang dan cuba berfikiran waras dapat memudahkan proses pengurusan kemalangan dan memastikan hak anda terpelihara.

Begitulah pengalaman dikongsikan Syahrul Anuar apabila terpaksa menguruskan kereta jenama Honda dipandu isterinya yang terbabit dalam kemalangan.

Berikut adalah lima langkah penting yang perlu diambil untuk memastikan hak anda dilindungi dan proses tuntutan insurans berjalan lancar.

1. Jangan tergesa-gesa tandatangan dokumen daripada tow truck (penunda kenderaan)

Selepas kemalangan, jangan tergesa-gesa untuk menandatangani sebarang dokumen daripada pemandu penunda kenderaan yang datang ke tempat kejadian.

Ini mungkin kelihatan seperti prosedur biasa, tetapi ada risiko bahawa kereta tidak akan dibawa ke bengkel yang sah atau yang disyorkan oleh pengeluar kereta anda.

Dalam kes Syahrul, isterinya menandatangani dokumen dalam keadaan panik bagi menunda kereta yang baru dibeli kurang satu tahun.

Persetujuan bersama penting sebelum menandatangani sebarang dokumen.

2. Guna program towing oleh pengeluar kereta

Jika mempunyai pilihan, hubungi pusat khidmat pengeluar kereta anda untuk menggunakan perkhidmatan towing yang mereka sediakan.

Dalam kes Syahrul, mereka cuba menghubungi pusat khidmat Honda, tetapi panggilannya tidak dijawab.

Oleh itu, mereka terpaksa berunding dengan pemandu penunda untuk memastikan kereta dibawa ke bengkel yang sah di bawah program Honda.

Penting untuk menegaskan bahawa kereta harus dibawa ke bengkel pilihan anda dan jangan teragak-agak untuk merakam janji yang dibuat oleh pemandu penunda.

3. Elakkan pembayaran pembatalan yang tidak perlu

Jika anda terpaksa membatalkan servis penunda kenderaan yang telah dipersetujui, periksa kos pembatalan.

Dalam situasi Syahrul, bayaran pembatalan adalah RM500, sedangkan kos sebenar dalam invois hanya sekitar RM250.

Jika anda terpaksa membayar, pastikan jumlahnya berpatutan dan merupakan satu keperluan.

Berbeza dengan kes Syahrul apabila kos sebenar untuk menunda kenderaan ke bengkel lain adalah lebih rendah daripada bayaran pembatalan yang dikenakan.

Khidmat tow truck diperlukan sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

4. Pertimbangkan kualiti dan kesesuaian bengkel

Tidak semua bengkel menyediakan servis sama, terutama jika anda mempunyai polisi takaful yang meliputi kos pembaikan dengan syarat tertentu.

Untuk kereta baharu atau masih dalam jaminan (warranty), penting untuk memastikan bahawa pembaikan dilakukan dengan alat ganti original dan dilakukan oleh bengkel yang disyorkan.

Ini mungkin mempengaruhi bayaran tuntutan takaful anda dan kualiti pembaikan yang dilakukan.

5. Tuntutan takaful dan proses adjuster

Setelah kemalangan, pastikan anda mengetahui hak dalam proses tuntutan takaful.

Dalam pengalaman Syahrul, walaupun kereta mengalami kerosakan menyeluruh tetapi masih perlu berurusan dengan adjuster takaful untuk mendapatkan cash back (balik tunai).

Jelas Syahrul, penting untuk tidak panik dan mengikuti langkah-langkah yang betul bagi melindungi hak anda selepas kemalangan.

Perkongsian dibuat ini ada bertujuan sebagai menceritakan pengalaman sendiri dan bukanlah memburukkan mana-mana pihak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain